2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
WhatsApp Image 2024-02-09 at 4.18.10 PM (1)
Info Semasa

300,000 pelarian Palestin berdepan kebuluran di utara,tengah Gaza

Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran ratusan ribu nyawa pelarian Palestin terancam diutara dan tengah Gaza akibat kekurangan makanan.

Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini yang dipetik dari Berita Harian, kali terakhir agensi itu dibenarkan menghantar bekalan ke kawasan itu adalah lebih dua minggu lalu, pada 23 Januari lalu.

Agensi lain yang menyediakan bantuan kemanusiaan juga melaporkan sekatan untuk mendapatkan atau menghantar bantuan ke wilayah Palestin itu, akibat serangan berterusan Israel sejak 7 Oktober lalu.

“Sejak awal tahun, separuh daripada permintaan misi bantuan kami ke utara ditolak.

“Sekurang-kurangnya 300,000 orang yang tinggal di kawasan itu bergantung kepada bantuan kami untuk kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Lebih separuh daripada anggaran 2.4 juta penduduk Gaza kini berkerumun di bandar Rafah di selatan, di mana Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sudah mengarahkan tentera melancarkan serangan.

Pengarah Hal Ehwal UNRWA di Gaza, Thomas White berkata, kini terdapat ‘kebimbangan besar’ mengenai serangan yang akan berlaku di Rafah, di mana operasi agensi itu berpusat.

“Ia akan menjadi sangat sukar untuk menguruskan operasi bantuan jika terpaksa berpindah dari Rafah.

“Kami sedang bergelut untuk memenuhi permintaan rakyat sekarang. Jika terdapat ratusan ribu orang bergerak lagi, kami tidak mempunyai sumber untuk menyokong mereka.

“Pada masa sama, kami tidak akan dapat menjalankan operasi dengan berkesan atau selamat dari bandar yang diserang oleh tentera Israel,” katanya.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) , Antony Blinken, dalam lawatan ke rantau itu minggu ini, merayu supaya lebih banyak bantuan dibenarkan masuk ke Gaza.

Bagaimanapun, Israel mendakwa Hamas, mengalihkan bantuan untuk tujuannya sendiri bagi memanjangkan konflik yang sudah memasukil bulan kelima.