27 KANAK-KANAK MAUT SERANGAN TIGA HARI DI AFGHANISTAN
KABUL: Sekurang-kurangnya 27 kanak-kanak terbunuh dan 136 cedera dalam tempoh tiga hari pertempuran tentera dengan kumpulan pemberontak Taliban sejak Sabtu lalu, menurut kenyataan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Wakil UNICEF, Hervé Ludovic De Lys dalam satu kenyataan melalui e-mel berkata, UNICEF terkejut dengan peningkatan kes kematian membabitkan kanak-kanak akibat konflik di Afghanistan dan kekejaman yang semakin meningkat setiap hari.
Beliau berkata, kematian dan kecederaan kanak-kanak dilaporkan meningkat di wilayah Kandahar, Khost dan Pakria, lapor agensi berita TRTWORLD.
“Pekerja media turut menjadi sasaran serangan semalam dan pegawai kerajaan tempatan memaklumkan seorang pengurus stesen radio Afghanistan di Kabul terbunuh dan seorang wartawan diculik di wilayah Helmand selatan, ” katanya.
Pegawai berkenaan turut menyalahkan pemberontak Taliban dalam serangan berkenaan.
Dilaporkan anggota kumpulan itu menembak pengurus stesen radio Paktia Ghag, Toofan Omar, dan seorang pegawai NAI, sebuah kumpulan hak asasi yang menyokong media bebas di Afghanistan, dalam satu pembunuhan yang disasarkan di ibu negara itu, Ahad lalu.
“Omar dibunuh oleh orang bersenjata yang tidak dikenali dan didakwa dia seorang yang liberal serta kami diberikan hak untuk bekerja secara bebas,” kata Ketua NAI, Mujeeb Khelwatgar.
Pihak berkuasa tempatan percaya serangan itu didalangi kumpulan Taliban.
Bulan lalu NAI melaporkan sekurang-kurangnya 30 wartawan dan pekerja media telah terbunuh, cedera atau diculik oleh kumpulan militan di Afghanistan tahun ini.
Di selatan wilayah Helmand, pegawai memaklumkan kumpulan Taliban menculik seorang wartawan tempatan, Nematullah Hemat, di kediamannya di Lashkar Gah, ibu kota wilayah itu, Ahad lalu.
“Kita sama sekali tidak ada petunjuk ke mana mereka bawa Hemat, kami benar-benar dalam keadaan panik,” menurut Ketua Saluran stesen televisyen swasta, Gharghasht TV, Razwan Miakhel, tempat Hemat bekerja.
Jurucakap Taliban memberitahu bahawa mereka tidak mempunyai maklumat mengenai pembunuhan di Kabul atau wartawan yang diculik di Helmand.
Gabungan organisasi berita Afghanistan menulis surat kepada Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden dan pemimpin di Dewan Perwakilan, mendesak mereka memberikan visa imigrasi khas kepada wartawan dan staf sokongan Afghanistan.
Taliban berjaya menawan tiga bandar utara hujung minggu lalu dan memberi amaran akan merampas lebih banyak lagi bandar.
Peningkatan serangan semakin memuncak sejak kebelakangan ini berikutan pengumuman Washington menamatkan misi ketenteraannya di negara itu pada akhir bulan ini.
Sumber: Berita Harian