2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

22 TERBUNUH PERTEMPURAN DI BARAT LAUT SYRIA

BEIRUT – Badan pemantau melaporkan pertempuran di barat laut Syria mengorbankan 22 pejuang rejim dan pejuang jihad, ia dilihat sebagai jumlah kematian tertinggi sejak gencatan senjata dua minggu lalu.

Gencatan senjata sejak 6 Mac lalu sebahagian besarnya berpunca daripada pertempuran di kubu pemberontak utama Syria di Idlib selepas serangan rejim selama berbulan-bulan mengorbankan ratusan orang awam dan memaksa hampir sejuta penduduk melarikan diri.

Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, sebelum subuh hari ini, pemberontak menyerang kedudukan pejuang pro-rejim barat wilayah yang dikuasai pejuang jihad.

Pemantau berpangkalan di Britain itu berkata, pertempuran di kawasan Sahl al-Ghab mengorbankan 15 pejuang rejim dan tujuh pejuang jihad termasuk daripada kumpulan Hurras al-Deen yang bersekutu dengan Al-Qaeda.

Ketua badan pemantau itu, Rami Abdel Rahman, berkata ia adalah jumlah kematian tertinggi bagi pejuang rejim sejak gencatan senjata berkuat kuasa.

“Sebelum ini ada pertempuran berselang dan pengeboman bersama antara kedua-dua belah pihak, tetapi yang terbaru ini adalah serangan paling ganas,” katanya.

Wilayah Idlib dengan kira-kira tiga juta orang dikuasai kumpulan Hayat Tahrir al-Sham yang diketuai bekas sekutu Al-Qaeda Syria, tetapi pejuang jihad lain seperti Hurras al-Deen dan kumpulan pemberontak turut berjuang di wilayah berkenaan.

Gencatan senjata yang dianjurkan sekutu rejim, iaitu Russia dan Turki yang menyokong pemberontak menyebabkan pesawat tentera tidak kelihatan di ruang udara Syria sejak sekian lama walaupun kadang kala tercetus siri berbalas tembakan roket.

Puluhan ribu penduduk sudah kembali ke kampung halaman mereka.

Ratusan ribu yang lain masih berada di kem pemindahan yang sesak atau di tempat perlindungan sementara berhampiran sempadan Turki.

Kumpulan bantuan kemanusiaan memberikan amaran bahawa sebarang penularan wabak COVID-19 akan mencetuskan bencana yang sangat dahsyat.

Perang Syria mengorbankan lebih 380,000 orang dan berjuta-juta orang menjadi pelarian sejak bermula pada tahun 2011 dengan berlakunya penindasan kejam terhadap penunjuk perasaan antikerajaan. 

Sumber: Berita Harian