2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

21 TENTERA TERBUNUH DALAM SERANGAN HENDAP DI SELATAN SYRIA

BEIRUT: Seramai 21 anggota tentera Syria maut dalam serangan hendap didalangi pasukan militan di wilayah selatan Daraa semalam.

Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata 21 anggota tentera yang terbunuh dalam serangan itu ialah dari Bahagian Berperisai Keempat dan unit perisikan regim berkenaan.

Agensi berita rasmi SANA turut melaporkan serangan pengganas terhadap konvoi bas tentera di Daraa, namun tidak memberikan sebarang perincian lanjut berhubung angka korban susulan kejadian itu.

Ketua Pemantau Hak Asasi Manusia Syria, Rami Abdul Rahman, berkata anggota tentera itu dalam perjalanan ke daerah al-Mzairib iaitu kawasan pedalaman di barat Daraa untuk menahan seorang bekas komander puak penentang.

Bagaimanapun, katanya, keseluruhan pasukan tentera itu diserang militan yang memihak kepada bekas komander terbabit.

“Militan menyerang dua lori tentera dan dua bas kecil yang membawa anggota keselamatan regim berkenaan.

“Serangan itu memaksa Damsyik menghantar anggota bantuan ke kawasan terbabit,” katanya.

Pejuang regim yang menerima sokongan Russia menawan semula Daraa daripada cengkaman pemberontak pada 2018, sekali gus memberi tamparan hebat kepada gerakan anti-kerajaan yang mula bertapak di wilayah itu sejak 2011.

Susulan itu, institusi negeri dilihat kembali pulih, namun anggota tentera tidak dikerah ke seluruh wilayah berkenaan.

Ramai bekas puak pemberontak kekal berada di wilayah itu, berbanding meninggalkan Daraa menerusi persetujuan yang dimeterai Moscow iaitu sama ada menyertai tentera atau mengekalkan kawalan di sebahagian Daraa.

Puak pemberontak turut dibenarkan menyimpan senjata ringan masing-masing, menerusi perjanjian dimeterai Moscow itu.

Al-Mzairib ialah antara daerah yang dikawal bekas pasukan penentang.

Sejak berada di bawah kawalan anggota regim, siri pengeboman dan pembunuhan yang menyasarkan anggota regim, bekas pasukan penentang dan orang awam sering tercetus di Daraa.

Peperangan di Syria sehingga kini mengorbankan lebih 388,000 orang dan menyebabkan jutaan yang lain terpaksa dipindahkan, sejak gerakan bantahan anti-kerajaan pada 2011.

Sumber: Berita Harian