2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
Info SemasaKenyataan Media

2 WANITA ROHINGYA TERBUNUH DALAM SERANGAN TENTERA MYANMAR

YANGON – Tindakan tentera Myanmar mengebom perkampungan Rohingya mengakibatkan dua wanita termasuk seorang sedang mengandung, terbunuh manakala tujuh lagi cedera.

Serangan itu dilancarkan dua hari selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), mahkamah tertinggi di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengarahkan kerajaan Myanmar melindungi etnik Rohingya di negara itu.

Ahli Parlimen Buthidaung, Maung Kyaw Zan, berkata bom berkenaan, yang membedil perkampungan Kin Taung tengah Jumaat lalu, dilancarkan oleh batalion berdekatan Rakhine.

“Tiada pertempuran, mereka secara tiba-tiba melepaskan bom terhadap kampung itu. Ini kali kedua orang awam terbunuh di kawasan ini”.

Lebih 730,000 etnik Islam Rohingya dipaksa meninggalkan utara Rakhine pada 2017 selepas operasi tentera yang disifatkan oleh PBB sebagai berniat melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Baru-baru ini, rantau itu kembali bergolak dengan pertempuran baharu apabila pasukan tentera dan kumpulan pemberontak Arakan Army bertempur.

Awal bulan ini, empat kanak-kanak Rohingya terbunuh berikutan letupan akibat pertempuran antara tentera dan kumpulan pemberontak, namun masing-masing mengaku tidak bertanggungjawab.

Khamis lalu, ICJ di The Hague mengarahkan Myanmar melindungi etnik Rohingya daripada sebarang penganiayaan, jenayah dan melindungi bukti jenayah terhadap mereka.

Ia susulan permohonan difailkan di mahkamah oleh Gambia November lalu, mendakwa Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya.

Jurucakap kerajaan Myanmar turut memberitahu bahawa negara itu sememangnya melindungi Rohingya, tetapi kuasa mereka terhad terhadap pihak tentera.

Kerajaan sivil mentadbir negara itu bersama tentera, bersandarkan peruntukan perlembagaan yang memberi lebih kuasa kepada pemimpin tentera.