Info SemasaKenyataan Media

12.4 JUTA PENDUDUK SYRIA DERITAI KEKURANGAN MAKANAN

BEIRUT: Jumlah penduduk di Syria yang menderitai kekurangan makanan kini melonjak kepada 12.4 juta orang.

Program Makanan Dunia (WFP) bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan krisis itu sebagai mencemaskan.

“Angka itu menunjukkan 60 peratus daripada populasi Syria sedang berdepan masalah makanan tidak terjamin,” katanya sambil merujuk hasil penilaian di seluruh negara berkenaan pada akhir tahun lalu.

Jumlah terbabit melonjak berbanding 9.3 juta penduduk menghadapi masalah sama ada Mei tahun lalu.

“Semakin ramai penduduk Syria terpaksa bergelut dengan kelaparan, kemiskinan dan krisis makanan tidak terjamin.

“Kebanyakan keluarga kini tidak mampu mendapatkan makanan asas sekalipun dan perkembangan itu begitu mencemaskan,” kata jurucakap WFP, Jessica Lawson.

Peperangan yang berlarutan hampir 10 tahun di Syria telah menghancurkan ekonomi negara itu.

Malah, WFP memaklumkan bahawa harga makanan di seluruh Syria adalah 33 kali lebih tinggi pada awal tahun ini berbanding purata lima tahun sebelum peperangan itu.

“Keadaan ekonomi di Syria memberi tekanan hebat kepada keluarga yang tidak lagi memiliki apa-apa selepas konflik berlarutan selama bertahun-tahun.

“Ramai yang terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan untuk terus hidup,” kata Lawson. 

Sumber: Berita Harian