Info SemasaKenyataan Media

10 MAUT, 1,000 DIMASUKKAN KE HOSPITAL AKIBAT GAS BOCOR DI INDIA

New Delhi – Sekurang-kurangnya 10 maut, manakala lebih 5,000 orang sesak nafas susulan kebocoran gas di sebuah kilang kimia di Visakhapatnam, di Andhra Pradesh, India, awal pagi hari ini.

Lapor Times Of India, mangsa yang maut termasuk seorang warga emas dan kanak-kanak berusia lapan tahun.

Pihak berkuasa India menjangkakan angka kematian mungkin meningkat.

Menurut pegawai polis, gas berkenaan bocor dari dua tangki berkapasiti 5,000 tan yang tiada pemantauan, sejak ditutup akibat Covid-19 pada Mac lalu.

Rakaman dari saluran televisyen India menunjukkan orang ramai termasuk wanita dan kanak-kanak terbaring di jalanan di bandar pelabuhan berkenaan.

“Berlaku tindak balas kimia dan haba di dalam tangki gas yang menjadi punca insiden itu,” kata Asisten Komisioner Swaroop Rani kepada AFP.

Koordinator hospital daerah, BK Naik berkata, sekurang-kurangnya 1,000 mangsa di hantar ke hospital berlainan dan dikhuatiri ramai orang mungkin tidak sedarkan diri di dalam rumah mereka.

“Ini sebab kejadian berlaku awal pagi, ramai orang sedang tidur di dalam rumah mereka (berhampiran insiden kilang itu) dan tidak sedarkan diri.

“Pihak berkuasa sedang memeriksa setiap rumah dan kami menghantar orang ramai ke hospital kerana mereka perlukan udara segar dan oksigen,” katanya.

Bandar berkenaan dan kawasan sekitarnya mempunyai kira-kira lima juta penduduk.

Sumber: Harian Metro