2J-1, Jalan Seri Emas 17A, Taman Seri Telok Mas, 75460 Telok Mas, Melaka.
03-8408 1789
TOPSHOT-PALESTINIAN-ISRAEL-CONFLICT_1719331914
Info Semasa

10 kanak-kanak di Gaza hilang satu atau kedua-dua kaki setiap hari – UNRWA

Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mendedahkan secara purata, sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak di Gaza kehilangan satu atau kedua-dua kaki setiap hari akibat perang.

Dengan memetik angka daripada Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini, berkata jumlah itu tidak termasuk kanak-kanak yang kehilangan anggota badan lain iaitu lengan dan tangan, lapor Berita Harian.

“10 kanak-kanak setiap hari, ini bermakna kira-kira 2,000 kanak-kanak yang kehilangan anggota badan selepas lebih 260 hari perang kejam ini.

“Pembedahan bagi memotong kaki sering berlaku dalam keadaan yang dahsyat dan sering kali tanpa bius,” katanya.

Pada masa sama, Lazzarini berkata, UNRWA menyelaraskan hampir semua bantuan ke Gaza, namun agensi itu berdepan serangan tanpa henti dan krisis pembiayaan yang serius.

Beliau berkata, agensi itu masih memerlukan dana sekurang-kurangnya

AS$140 juta (RM658 juta) untuk bertahan sehingga akhir tahun ini.

“Dari aspek kewangan terkini, kami hanya mampu bertahan sehingga akhir Ogos ini sahaja,” katanya.

Semalam, Save the Children mendedahkan kira-kira 21,000 kanak-kanak dianggarkan hilang akibat perang.

Sementara itu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 37,658 orang terbunuh dalam serangan balas Israel dalam peperangan yang tercetus 7 Oktober lalu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.