WHO BIMBANG PENULARAN COVID-19 DI ASIA BARAT
KAHERAH – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yakin negara di Asia Barat mampu mengekang penularan wabak coronavirus meskipun peningkatan kes harian begitu membimbangkan.
WHO ketika ini mengesahkan sebanyak 77,000 kes dengan 4,000 kematian di negara Mediterranean Barat termasuk Pakistan, Afghanistan, Somalia dan Djibouti.
Pengarah Kecemasan Serantau WHO, Richard Brenan, berkata sekurang-kurangnya 78 peratus kes itu dicatat di Iran, berbanding negara lain yang hanya mengesahkan kurang 4,000 kes dan ada yang tidak mencecah 1,000 orang.
Kadar kematian di rantau itu adalah sama pada peringkat global meskipun beberapa hari kebelakangan ini terdapat tanda-tanda kes baharu menurun di Iran, tetapi risiko di negara lain meningkat.
“Berbanding negara lain, kita masih bimbang dengan peningkatan kes harian yang terus bertambah.
“Kita memerlukan tindakan segera bagi memastikan langkah kesihatan awam lebih berkesan seperti pengesanan awal, ujian serta pengasingan pesakit yang dijangkiti,” katanya.
Kebanyakan negara itu masih dibebani kesan konflik dan krisis politik, sekali gus menjejaskan keupayaan melawan coronavirus.
Agensi antarabangsa antara lain turut menzahirkan kerisauan terhadap jutaan pelarian dan mereka yang tidak mempunyai tempat tinggal serta penutupan sempadan yang mengakibatkan bantuan semakin sukar diagihkan.
Di Sudan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memohon setiap kerajaan menyediakan kemudahan kemanusiaan kepada lebih enam juta orang termasuk akses kepada perubatan dan pekerja kemanusiaan.
Koordinator Kemanusiaan PBB, Gwi Yeop Son, berkata jika usaha itu tidak diselaras dengan sebaiknya, bantuan akan terlambat dan akhirnya perang menentang bahaya COVID-19 akan gagal.
Sumber: Berita Harian