Screenshot 2024-09-03 163432
Uncategorized @ms

UK gantung jualan beberapa senjata ke Israel

Kerajaan United Kingdom (UK) menggantung penjualan beberapa senjata kepada Israel berikutan terdapat ‘risiko jelas’ peralatan itu boleh digunakan untuk melakukan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.

Setiausaha Luar UK, David Lammy berkata, negara itu akan menggantung 30 daripada 350 lesen eksport senjata ke Israel, termasuk bahagian untuk jet pejuang, helikopter dan dron, lapor Berita Harian.

“Penilaian yang saya terima membuatkan saya sukar untuk membuat kesimpulan di mana, untuk sesetengah eksport senjata UK ke Israel, terdapat risiko jelas bahawa ia digunakan untuk melakukan atau memudahkan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, Lammy menegaskan UK terus menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri dan sekatan terbabit hanya merangkumi senjata atau bahagian senjata dikaitkan dengan jenayah kemanusiaan.

Katanya, ramai Ahli Parlimen, peguam dan pertubuhan antarabangsa menimbulkan kebimbangan mengenai pelesenan eksport senjata Britain ke Israel.

Lammy segera meminta kajian semula eksport senjata British ke Israel dilakukan kerajaan UK selepas Parti Buruh mengambil alih pemerintahan pada Julai lalu.

Beliau berkata, kajian semakan itu tidak dan ‘tidak boleh memutuskan sama ada Israel melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa’, bermakna ia ‘bukan penentuan sama ada pihak berkenaan bersalah atau sebaliknya’.

Bagaimanapun, Lammy menegaskan, kerajaan mempunyai kewajipan undang-undang sendiri untuk menyemak semua lesen eksport.

Namun, perkakasan dibuat di UK untuk jet pejuang F35 yang digunakan Israel untuk menyerang sasaran di Gaza tidak akan dimasukkan dalam larangan terbabit.

Amerika Syarikat (AS) setakat ini adalah pembekal senjata terbesar kepada Israel, menyumbang 69 peratus daripada import senjata konvensional utamanya antara 2019 dan 2023, menurut Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm.

Adalah amat mengejutkan bahawa UK selaku salah satu sekutu terdekat Israel, menilai terdapat risiko yang jelas bahawa regim itu mungkin menggunakan sebahagian daripada import senjatanya untuk melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Perbincangan mengenai penggantungan penjualan senjata bermula di bawah kerajaan Konservatif yang lalu tetapi ia telah mencapai puncak di bawah pentadbiran Buruh yang baharu.

Kerajaan Parti Buruh telah menggesa gencatan senjata segera dalam perang antara Israel dan Hamas, pembebasan semua tebusan dan peningkatan jumlah bantuan kepada orang awam di Gaza.

Beberapa Ahli Parlimen Buruh telah menggesa Perdana Menteri, Keir Starmer untuk melangkah lebih jauh dan mengharamkan penjualan senjata British ke Israel sepenuhnya.

The Campaign Against Arms Trade, dalam laporannya berkata, sejak 2008, UK memberikan lesen eksport senjata kepada Israel bernilai 574 juta pound (RM3. 3 bilion) secara keseluruhan.

Penyelidikan Parlimen menunjukkan nilai lesen yang diberikan telah susut daripada 42 juta pound (RM240 juta) pada 2022 kepada 18.2 juta pound (RM104 juta) pada 2023.