WhatsApp Image 2023-10-03 at 10.10.23 PM
Info Semasa

Turkiye tahan puluhan suspek militan susulan serangan berani mati

ISTANBUL: Turkiye menahan puluhan suspek militan Kurdish dan penyokong mereka susulan serangan ke atas daerah kerajaan di ibu negara Ankara, yang mencederakan dua anggota polis semalam.

Serbuan merentasi kawasan tenggara Turkiye yang didominasi Kurdish itu berlaku dua hari selepas satu cawangan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye dan sekutu baratnya, mengaku bertanggungjawab atas serangan pada Ahad lalu, lapor Berita Harian.

Polis Turkiye menembak mati salah seorang penyerang, manakala seorang lagi maut dalam satu letupan berani mati di luar kementerian dalam negeri Turkiye.

Serangan itu berlaku beberapa jam sebelum Presiden Recep Tayyip Erdogan menghadiri sesi pembukaan Parlimen.

Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya, berkata perkhidmatan keselamatan menahan 67 ‘anggota organisasi pengganas’ di 16 wilayah.

Turkiye, pada Ahad juga melancarkan serangan udara ke atas pangkalan yang disyaki milik PKK di pergunungan utara Iraq.

PKK melancarkan pemberontakan sejak 1984, yang meragut puluhan ribu nyawa di Turkiye.

Satu siri operasi ketenteraan Turkiye yang berturut-turut mendorong kumpulan itu kembali ke negara jiran, Iraq.

Serangan PKK itu berlaku pada hari pembukaan sidang Parlimen Turkiye, di mana penggubal undang-undang akan diminta untuk meratifikasi keanggotaan Sweden dalam perikatan pertahanan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Ratifikasi Turkiye tertangguh berikutan kemarahan terhadap keengganan polis Sweden untuk mengharamkan perarakan oleh PKK dan penyokong mereka di Stockholm.

Sesetengah penganalisis percaya PKK mungkin cuba menghalang ratifikasi Turkiye kerana ia akan menandakan penambahbaikan dalam hubungan tegang Ankara dengan Washington.

Turkiye juga cuba untuk meminta Amerika Syarikat (AS) menggugurkan sokongannya terhadap pejuang Kurdish daripada kumpulan YPG di Syria, satu peralihan dasar yang mungkin dijangka Ankara sebagai balasan untuk ratifikasi yang diberikannya.

Washington bergantung kepada YPG untuk memerangi kumpulan Daesh di rantau ini.

Bagaimanapun, Ankara melihat YPG sebagai organisasi sekutu PKK.