Info SemasaKenyataan Media

TURKI ISYTIHAR BENCANA DI KAWASAN KEBAKARAN

TURKI: Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengisytiharkan sebahagian wilayah Turki selatan yang dilanda kebakaran hutan sebagai ‘kawasan bencana’ dengan jumlah kematian akibat kebakaran meningkat kepada enam orang selepas dua kakitangan perhutanan terbunuh.

“Kami akan terus mengambil semua langkah yang diperlukan untuk memulihkan semula negara, mengimbangi kerugian dan meningkatkan peluang,” katanya dalam hantaran di Twitter dan turut meninjau kawasan kebakaran melalui helikopter, semalam.

Memetik laporan Al Jazeera, pada masa sama, Erdogan berkata, bencana itu tidak akan dipolitikkan, tetapi berkemungkinan terdapat sabotaj dan siasatan mengenai punca kebakaran sedang dijalankan.

Kebakaran sejak Rabu lalu memusnahkan hutan sebelum merebak ke kampung dan destinasi pelancongan hingga memaksa penduduk berpindah.

Menteri Pertanian dan Perhutanan, Bekir Pakdemirli, berkata sebanyak 88 daripada 98 kebakaran yang berlaku akibat angin kencang dan panas terik berjaya dikawal.

Sekurang-kurangnya lima maut di Manavgat dan seorang maut di Marmaris, yang mana kedua-dua bandar ini terletak di Mediterranean dan menjadi destinasi pelancongan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Fahrettin Koca, berkata seramai 400 orang terkesan di Manavgat dibenarkan keluar hospital dan 10 lagi masih menerima rawatan.

Di Marmaris, 159 orang dirawat dan seorang masih menjalani rawatan kerana luka terbakar.

Kebakaran baharu berlaku di wilayah Hatay selatan apabila api merebak ke kawasan penempatan tetapi berjaya dikawal.

Media Turki juga melaporkan tetamu hotel di beberapa kawasan di Bodrum di Aegean diarah berpindah dan pihak berkuasa meminta bot dan kapal layar peribadi untuk membantu usaha pemindahan melalui laut.

Erdogan berkata, kerajaan akan memberikan pampasan untuk keluarga yang kehilangan rumah atau tanah pertanian, selain cukai, jaminan sosial dan pembayaran kredit akan ditangguhkan dan perniagaan kecil akan ditawarkan kredit tanpa faedah.

“Kami tidak dapat melakukan apa-apa selain mengharapkan belas kasihan Tuhan untuk kehilangan nyawa tetapi kami akan menggantikan semua yang musnah terbakar,” katanya.

Sumber: BH