‘Tiada tempat selamat di Gaza’
Penduduk di kem pelarian Al-Maghazi kembali ke kawasan kejiranan mereka pada Isnin selepas kediaman mereka menjadi ‘padang jarak padang tekukur’ akibat dibom tentera Israel.
Menurut laporan Sinar Harian, rumah mereka telah musnah sepenuhnya. Rumah kami dibom.
“Tiada lagi tempat yang selamat di Genting Gaza,” kata penduduk kem tersebut, Abu Rami al-Ais yang duduk di atas runtuhan rumahnya yang musnah.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas pada lewat Ahad, sebanyak tiga buah rumah di kem itu dibedil tentera Israel yang turut mengorbankan 70 orang.
Sebelum kejadian, Israel didakwa mengeluarkan arahan pemindahan dan memberi amaran supaya orang awam mencari tempat selamat sebelum aktiviti ketenteraan, namun Abu Ram berkata, tiada sebarang maklumat diterima mereka mengenai perkara tersebut.
“Apa yang kami perlu buat? Kami adalah orang awam, hidup aman dan hanya mahukan keselamatan.
“Namun, tiba-tiba kami diserang pesawat perang Israel tanpa sebarang amaran,” katanya.
Bagaimanapun, Israel seperti biasa berkata, mereka akan mengkaji semula serangan itu.
Sehingga kini, hampir semua kawasan di Gaza telah musnah dalam pengeboman darat dan udara tentera zionis ketika konflik yang berlangsung lebih dua bulan.
Konflik Hamas-Israel tercetus dalam serangan tidak pernah berlaku sebelum ini apabila pejuang Hamas melancarkan ratusan roket pada 7 Oktober lalu sehingga mengejutkan penduduk awam di wilayah Israel.
Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan bertubi-tubi dari darat, udara dan laut di Genting Gaza yang akhirnya mengorbankan lebih 20,670 orang awam yang kebanyakan wanita serta kanak-kanak.
Anak jadi trauma
Pada Isnin, penduduk yang kembali ke kem dikejutkan dengan skala kemusnahan besar-besaran dan menceritakan semula bagaimana anak-anak kecil mereka dikejutkan dengan serangan dahsyat itu.
“Tentera Israel tidak menyelamatkan orang awam malah mereka sedang menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan membawa ketakutan dalam hati anak-anak kami.
Rakaman AFP menunjukkan beberapa orang penduduk berjalan melewati serpihan kediaman mereka yang runtuh sambil memeriksa kerosakkan disebabkan serangan pada waktu malam. Ada berpelukan sesama sendiri dan mengalirkan air mata.
Beberapa kenderaan hangus berselerakan atas jalan raya manakala kanak-kanak berjalan mundar-mandir mencari buku mereka.
Kem Al-Maghazi adalah salah sebuah pusat pelarian ditubuhkan pada tahun 1949 dan digunakan untuk melindungi pelarian yang lari daripada kekejaman Israel sebelum penubuhan negara haram zionis itu.
Difahamkan, ramai orang awam melarikan diri dengan sehelai sepinggang dari kem Al-Maghazi selepas serangan udara dan darat tentera zionis pada Ahad lalu yang sebelum ini mereka adalah pelarian dari utara Gaza.