Tentera Israel terus serbu Al-Aqsa menjelang akhir Ramadan
RAMALLAH: Masyarakat antarabangsa digesa untuk menghalang peningkatan aktiviti ‘berbahaya’ Israel di Baitulmaqdis yang kini berdepan lonjakan kes keganasan dan tangkapan.
Rayuan dibuat Menteri Hal Ehwal Baitulmaqdis, Fadi Al-Hadmi, ketika tentera dan polis Israel meningkatkan pencerobohan ke dalam Masjid Al-Aqsa, dua hari sebelum Ramadan berakhir, selain terus menahan rakyat Palestin di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat, lapor Berita Harian.
Sumber Palestin berkata, pihak berkuasa Israel menahan 13 individu ketika Subuh pada Rabu lalu seterusnya pada sebelah petang ramai anggota polis dan pengawal sempadan Israel menyerbu halaman ‘Dome of the Rock’ di Masjid Al-Aqsa untuk menanggalkan bendera Palestin buat kali kedua pada hari berkenaan.
“Tentera Israel pada mulanya menyerbu masjid ketika Subuh, menanggalkan dan merampas sepanduk yang tergantung pada tiang.
“Bagaimanapun, tindakan itu gagal menurunkan bendera Palestin, menyebabkan pihak berkuasa Israel kembali menyerbu masjid dan menggunakan tangga untuk merampasnya (bendera),” kata sumber itu.
Fadi mengecam perkembangan yang berlaku di Baitulmaqdis sejak beberapa minggu lalu, terutama serangan terhadap jemaah dan sekatan solat di Masjid Al-Aqsa ketika Ramadan dan di ‘Gereja Holy Sepulcher’ ketika ‘Holy Friday’.
“Polis dengan kejam menyerang jemaah di Masjid Al-Aqsa dan mengenakan sekatan terhadap kemasukan mereka bagi membuka jalan kepada pencerobohan peneroka ke dalam masjid.
“Mereka juga menyerang peserta dalam perayaan Holy Friday dan menghalang sejumlah besar daripadanya sampai ke Gereja Holy Sepulchre,” katanya.
Menteri itu juga memberi amaran rancangan penempatan yang meluas sedang dirangka dalam pelbagai jawatankuasa Israel.
Beliau merujuk rancangan untuk merobohkan puluhan pertubuhan komersial di kejiranan Wadi Al-Joz untuk melaksanakan apa yang digelar rancangan Lembah Silikon, selain membina ratusan unit penempatan di tanah Palestin di bandar itu.
“Sekali lagi, perkembangan terkini di kota Baitulmaqdis yang diduduki membuktikan tanpa sebarang keraguan pendudukan adalah punca konflik di bandar itu dan keganasan serta pelanggaran peneroka memburukkan lagi konflik ini.
“Keselamatan dan kestabilan yang diinginkan di bandar ini akan dicapai jika pendudukan dihentikan,” katanya.
Kenyataan Fadi itu dibuat ketika Ketua Jawatankuasa Tinggi Presiden Hal Ehwal Gereja di Palestin, Ramzi Khoury, menyeru gereja Kristian di seluruh dunia untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa Israel bagi menamatkan pencerobohan.