Tentera Israel bunuh rakyat Palestin di Tebing Barat
NABLUS: Seorang pemuda Palestin maut selepas ditembak oleh tentera Israel dalam pertempuran berhampiran tapak suci di Tebing Barat yang diduduki hari ini, kata pegawai Palestin.
Seorang pegawai hospital di Nablus, utara Tebing Barat, berkata lelaki berusia 20 tahun dikenal pasti sebagai Waseem Abu Khalifa meninggal dunia akibat luka serius, lapor agensi berita rasmi Palestin, Wafa.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin berkata, seramai 31 orang cedera ketika pertempuran di sekitar Makam Joseph di Nablus.
Khalifa adalah penduduk di Balata, sebuah kem pelarian yang berhampiran dengan makam itu, kata Wafa.
Makam itu, yang dipercayai oleh sesetengah pihak sebagai tapak suci dan dihormati.
Tentera Israel berkata, mereka menjalankan operasi untuk ‘mengamankan pintu masuk penyembah (Yahudi) ke Makam Yusuf di bandar Nablus’.
“Semasa aktiviti itu, tentera melepaskan tembakan ke arah suspek bersenjata yang menembak mereka,” katanya.
Tentera Israel membunuh tiga rakyat Palestin ketika serbuan di Nablus pada 9 Ogos lalu, termasuk pejuang kanan Ibrahim al-Nabulsi.
Israel menduduki Tebing Barat sejak Perang Enam Hari 1967 apabila ia merampas wilayah itu daripada Jordan.
Sumber: Berita Harian