Tawanan Israel ucap terima kasih atas layanan baik Hamas
Seorang wanita Israel di Gaza menitipkan warkah penghargaan kepada Briged Al-Qassam, sayap tentera Hamas atas layanan istimewa yang diberikan sepanjang menjadi tahanan kumpulan itu.
Warkah bertarikh 23 November yang dimuat naik pejuang Hamas itu tular sejak pagi tadi mendedahkan, pengakuan ikhlas tahanan Israel yang dibebaskan.
Menurut wanita itu, Danyal, dia sangat terharu atas keprihatinan Hamas dalam menyediakan semua keperluan mereka sepanjang menjadi tahanan terutama menyantuni anaknya, Emilia, seperti darah daging sendiri.
Mereka juga sabar melayani kerenah anaknya.
Danyal turut menzahirkan ucapan terima kasih atas layanan penuh kemanusiaan luar biasa kumpulan itu.
“Kanak-kanak tidak sepatutnya berada dalam kurungan tetapi terima kasih kepada kalian dan orang baik yang kami temui di sepanjang tempoh ini.
“Anak perempuan saya rasa macam seorang puteri di Gaza kerana dari pangkat rendah sehingga ke pimpinan atas melayannya dengan baik, lembut dan dengan penuh kasih sayang,” katanya.
Di akhir warkahnya, Danyal berkata, dia amat terhutang budi atas layanan baik diberikan itu sehingga anaknya meninggalkan bumi Gaza dalam keadaan baik dan tidak mengalami trauma psikologi.
Sepanjang empat hari tempoh gencatan senjata ini, Kementerian Luar Qatar berkata, Hamas membebaskan 69 tahanan manakala Israel membebaskan 150 tahanan.
Secara rasminya, gencatan senjata sementara fasa pertama itu berakhir 7 pagi waktu tempatan (1 tengah hari waktu Malaysia) tadi, namun semalam kedua-dua pihak dilaporkan mencapai kata sepakat melanjutkan dua hari lagi gencatan senjata sehingga 7 pagi waktu tempatan, Khamis ini.