Tahanan Palestin umur 16 tahun dipukul setiap minggu oleh tentera Zionis
Osama Nayef Osama Marmash dari utara Tebing Barat merupakan seorang daripada 39 tahanan warga Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel selepas Zionis dan Hamas bersetuju melakukan gencatan senjata selama empat hari.
Remaja lelaki berusia 16 tahun dari Nablus itu menceritakan dia ditahan oleh Israel sejak lima bulan lalu.
“Semua tahanan Palestin mengetahui tentang perjanjian (pertukaran tahanan dengan tebusan) pada Jumaat lalu.
“Saya bangun pagi, cuci muka dan terus membaca al-Quran sebelum tentera Israel datang ke sel untuk memilih tahanan yang akan dibebaskan.
“Hati saya berbunga-bunga selepas mereka menyebut nama saya,” memetik ucapan pemuda itu dari laporan TV3
Jelas Osama, selepas mengetahui namanya tersenarai, dia mengemas barangannya dan sanggup menunggu dalam cuaca sejuk sehingga Palang Merah datang dan membawa dia serta tahanan lain keluar dari penjara.
Menceritakan keadaan di dalam penjara, Osama menyifatkannya sebagai ‘tiada sesiapa pun mahu berada di dalam penjara Israel’.
“Setiap minggu, tentera Israel dakan datang ke sel dan memukul tahanan, biarpun tiada kesalahan kami lakukan.
“Kemudian, mereka akan merampas semua barangan kami termasuk pakaian, cadar dan tilam,” ujarnya.
Osama juga memberitahu, setiap tahanan akan diberi cadar yang amat nipis, selain mereka juga pernah disimbah air ketika cuaca sangat sejuk.
“Kami diberikan makanan yang amat sedikit dan tiada pilihan untuk kami,” jelasnya.