Info SemasaKenyataan Media

TAEZ: ‘ADA HARI KAMI BELAJAR DI LANTAI, DI JALAN, BUMBUNG’

TAEZ: Perang saudara selama tujuh tahun dan ditambah dengan ‘serangan’ Covid-19 memburukkan keadaan hidup di Yaman.

Kanak-kanak antara yang cukup terjejas, ketika sesi persekolahan dibuka semula dalam keadaan sekolah tak terurus.

Di Bandar Taez contohnya, ada yang terpaksa duduk di lantai untuk mengikuti sesi pembelajaran.

Yaman yang dilanda kon­flik selama tujuh tahun meng­akibatkan puluhan ribu penduduk terkorban dan memaksa jutaan lagi meninggalkan kediaman masing-masing menjadi ‘orang pelarian dalaman’ (IDP).

Biarpun berdepan dengan kekurangan, kanak-kanak di Taez berusaha untuk mengikuti pembelajaran dengan sebaik mungkin.

“Ada hari kami belajar sambil duduk atas lantai dan pernah di atas bumbung serta di jalan.

“Cukuplah alami ini selama beberapa tahun, kami mahu pergi ke sekolah yang sebenar,” kata seorang pelajar gred tujuh, Laith Kamel memberitahu AFP.

Di seluruh Yaman, kanak-kanak sama ada tidak mempunyai bilik darjah atau kemudahan asas seperti meja, kerusi dan tandas.

Kebanyakan sekolah musnah dalam konflik antara kerajaan dan pemberontak Houthi sementara yang lain dijadikan kem pelarian atau kemudahan tentera.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira dua juta kanak-kanak tercicir dari sekolah sebelum pandemik Covid-19 melanda negara ini.

Agensi antarabangsa itu juga memberi amaran jumlah itu kemungkinan besar akan meningkat.

Sumber: Utusan