
Syria Telah Bangkit, Kini Giliran Kita Bersama Membina
KENYATAAN RASMI
GABUNGAN BINA SEMULA SYRIA (GBSS)
EDARAN SEGERA
21 MEI 2025
Syria Telah Bangkit, Kini Giliran Kita Bersama Membina
Gabungan Bina Semula Syria (GBSS) menyambut baik keputusan penting dan bersejarah oleh Kesatuan Eropah serta Amerika Syarikat yang telah mengangkat sekatan ekonomi terhadap Syria.
Ini bukan sekadar langkah diplomatik, tetapi satu titik perubahan besar dalam masa depan negara Syria yang sekian lama terperangkap dalam kancah peperangan dan pengasingan global.
Kenyataan rasmi daripada Majlis Kesatuan Eropah, kenyataan bersama antara Amerika Syarikat dan Turkiye, serta pengumuman Presiden Donald J. Trump menunjukkan kesediaan dunia untuk membuka semula pintu kepada Syria.
Di tengah-tengah perubahan ini, kepimpinan baharu Syria di bawah Presiden Dr Ahmad Sharaa menjadi simbol harapan baharu.
Dalam suasana yang masih dibayangi oleh pengaruh luar dan sisa legasi rejim lama, beliau tidak mengajak rakyat bangkit dengan senjata, tetapi dengan harapan.
Beliau memilih jalan kestabilan dan pembinaan semula, bukan balas dendam. Pilihan ini bukan sahaja menuntut keberanian politik, tetapi juga kebijaksanaan strategik.
Dalam sejarah negara-negara yang pernah dijatuhkan oleh perang saudara, pendekatan ini adalah sesuatu yang sangat jarang dan amat dihargai.
Kami di GBSS juga menghargai kenyataan rasmi YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang mengucapkan tahniah kepada Presiden Sharaa atas pelantikan beliau.
Ia menunjukkan kepekaan Malaysia terhadap dinamika geopolitik serantau dan kesediaan untuk kembali menjalin hubungan strategik dengan Damsyik. Namun begitu, kenyataan perlu disusuli dengan langkah dan tindakan yang lebih tersusun, melibatkan semua sektor negara.
Sebagai gabungan NGO yang telah lama aktif di Syria dalam pelbagai misi bantuan sejak lebih sedekad lalu, kami percaya bahawa inilah waktu paling sesuai untuk Malaysia mengorak langkah lebih jauh. Justeru kami mencadangkan:
1. Mengaktifkan semula misi bantuan kemanusiaan ke Syria secara lebih tersusun, fokus kepada sektor pendidikan, kesihatan, air bersih dan pembinaan semula kediaman.
2. Menjalin kerjasama rasmi antara NGO Malaysia dan agensi sah kerajaan Syria bagi menjamin keberkesanan dan ketelusan semua bentuk bantuan dan sumbangan.
3. Mendorong penyertaan sektor swasta Malaysia dalam projek pemulihan dan pembangunan semula Syria, khususnya dalam bidang teknologi, pertanian, pembinaan dan keusahawanan sosial.
4. Menggerakkan institusi zakat, waqaf dan koperasi Islam di Malaysia untuk menjadikan Syria sebagai salah satu destinasi utama sumbangan dan pelaburan sosial.
5. Menyeru rakyat Malaysia agar menjadikan Syria sebagai tanggungjawab bersama umat Islam, bukan sekadar menunggu musim derma, tetapi melalui komitmen bulanan, inisiatif advokasi dan sokongan berterusan.
Syria hari ini bukan lagi tanah peperangan semata-mata. Ia sedang berubah menjadi tanah pembinaan semula. Dunia telah mula membuka ruang. Malaysia mesti menyambutnya, bukan sekadar sebagai penyumbang, tetapi sebagai rakan yang membina bersama. Inilah masanya untuk kita hadir sebagai umat yang peduli, profesional dan bertanggungjawab.
Bina semula Syria, pulihkan dunia Islam.
Sekian dengan penuh iltizam.
Gabungan Bina Semula Syria (GBSS)