SUMATERA UTARA ISYTIHAR DARURAT AKIBAT BANJIR, TANAH RUNTUH
MEDAN, 31 Jan – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut selepas banjir teruk dan tanah runtuh melanda enam daerah di di daerah Andam Dewi di Tapanuli Tengah, Sumatera Utara, semalam.
Pihak berkuasa tempatan mengisytiharkan darurat selama tujuh hari dengan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) masih berusaha mengenal pasti mayat yang tertimbus di bawah runtuhan tanah.
Banjir teruk yang berlaku sekitar jam 1 pagi itu turut memusnahkan beberapa rumah dan kemudahan awam, mengakibatkan laluan utama menghubungkan daerah Barus dan Pakkat ditutup.
Ketua Agensi Pencegahan Bencana Tapanuli Tengah (BPBD), Safaruddin Ananda Nasution, berkata setakat jam 5 petang semalam, tujuh mangsa termasuk pasangan suami isteri, di daerah Barus dan lima penduduk daerah Andam Dewi disahkan maut.
“Pasangan suami isteri maut apabila kereta mereka dihanyutkan banjir di Barus manakala lima lagi tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Andam Dewi.
“Paras air yang naik sehingga dua meter itu turut mengakibatkan 22 penduduk cedera ,” katanya.
Agensi Meteorologi, Cuaca dan Geofizik (BMKG) di Medan sebelum ini sudah mengeluarkan amaran hujan lebat, angin kencang dan ribut petir dijangka berlaku di wilayah itu bermula Selasa lalu.
Sumber: Berita Harian