SOLAT GHAIB UNTUK ANAK KAPAL KRI NANGGALA 402
JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) meminta umat Islam mengadakan solat ghaib secara sendirian atau berjemaah untuk anak kapal selam tentera negara itu, KRI Nanggala 402, yang disahkan terkorban.
Wakil Ketua MUI, Anwar Abbas, berkata tragedi yang menimpa kapal selam itu bukan saja menjadi berita duka kepada keluarga anak kapal, tetapi seluruh rakyat Indonesia.
“Mari melaksanakan solat ghaib supaya semua dosa mereka diampuni dan pengabdian serta pengorbanan yang diberikan kepada bangsa dan negaranya menjadi ibadah serta mendapat ganjaran pahala yang sebesar-besarnya dari-Nya,” katanya dalam satu kenyataan bertulis yang dipetik Antaranews.com.
Anwar turut memetik satu hadis iaitu seseorang itu mati syahid apabila dia meninggal dunia disebabkan tenggelam.
“Jika memang mereka meninggal dalam keadaan seperti ini, maka mereka jelas pergi menghadap Tuhannya dalam keadaan terhormat,” katanya.
KRI Nanggala 402 ditemui pecah di dasar laut di perairan Bali, semalam dengan semua 53 anak kapal disahkan meninggal dunia.
Ketua Ketua Turus Tentera Laut Indonesia, Yudo Margono, mengesahkan serpihan kapal selam yang hilang Rabu lalu itu ditemui pecah kepada tiga bahagian.
Ketua Tentera Indonesia, Hadi Tjahjanto, mengesahkan kepada wartawan yang semua anak kapal selam berkenaan sudah meninggal dunia.
Sumber: Berita Harian