SI CILIK KETAWA DENGAR BUNYI BOM SELAMAT TIBA DI TURKI
ANKARA, 5 Mac – Seorang kanak-kanak perempuan Syria yang diajar bapanya supaya ketawa apabila mendengar bunyi letupan bom dilaporkan telah selamat tiba di Turki.
Rakaman video yang memaparkan keletah Salwa, 3, turut menjadi tular pada bulan lalu.
Agensi berita Anadolu melaporkan pemerintah Turki membantu keluarganya dari wilayah Idlib melintasi sempadan kira-kira seminggu selepas klip tersebut mendapat perhatian pengguna media sosial.
“Mereka memasuki Ankara melalui sempadan Cilvegozu pada 25 Februari lalu dan dibawa ke kem pelarian di Reyhanli, selatan Turki,” lapor akhbar itu lagi.
Bapanya, Abdullah Mohammad menggunakan idea unik tersebut untuk menghilangkan rasa takut pada anaknya.
Menurut Mohammad, ‘permainan’ tersebut membuatkan anaknya menjadi tenang dan gembira.
Sumber: Sinar Harian