sekolah_1724167001
Info Semasa

Serangan Israel ke atas sekolah Gaza membunuh 7 orang

Agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan serangan Israel menyasarkan sebuah sekolah di Bandar Gazasemalam dan membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang.

Mayat lima lelaki dan dua kanak-kanak dikeluarkan dari bangunan selepas sebuah pesawat Israel menjatuhkan bom di tingkat dua bangunan Sekolah Mustafa Hafiz yang menempatkan ribuan orang yang dipindahkan, menurut jurucakap agensi, Mahmud Bassal kepada AFP, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun tentera Israel berkata, pihaknya menyerang sebuah pusat komando Hamas yang mencederakan 15 orang.

AFP tidak dapat mengesahkan jumlah angka kematian di sekolah itu, yang menurut tentera Israel menjadi sasaran kerana ia menempatkan pusat komando dan kawalan Hamas.

Tentera Israel dalam satu kenyataan berkata pejuang Hamas menggunakan pusat komando dan kawalan itu untuk merancang dan melaksanakan serangan terhadap pasukan IDF (tentera Israel) dan negara Israel.

Pejuang Hamas menggunakan pusat komando dan kawalan berkenaan untuk merancang dan melaksanakan serangan terhadap pasukan IDF (tentera Israel) dan Israel, menurut tentera dalam satu kenyataan.

Tentera itu berkata ia melancarkan serangan tepat terhadap pengganas yang beroperasi di dalam sekolah itu.

Awal bulan ini, tentera menyerang Sekolah Al-Tabieen di Bandar Gaza, yang menurut agensi pertahanan awam mengorbankan 93 warga Palestin, manakala tentera mengatakan 31 pemberontak terbunuh.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tentera telah menyerang beberapa sekolah di seluruh Gaza, terutamanya di Bandar Gaza, dengan menuduh sekolah itu menempatkan pusat komando Hamas, yang dinafikan oleh kumpulan penentang Palestin itu.

Puluhan ribu orang yang dipindahkan berlindung di sekolah terbabit sejak perang antara Israel dan Hamas tercetus pada 7 Oktober selepas pejuang Palestin menyerang selatan Israel.

Serangan itu mengakibatkan kematian 1,199 orang, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Pejuang Hamas juga menawan 251 orang, di mana 105 daripadanya masih ditahan di Gaza, termasuk 34 orang yang menurut tentera Israel sudah meninggal dunia.

Serangan balas tentera Israel terhadap Hamas telah mengorbankan sekurang-kurangnya 40,173 orang di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Kebanyakan yang terbunuh di Gaza adalah wanita dan kanak-kanak, menurut pejabat hak asasi manusia PBB.