Seorang maut, lebih 43,000 lain hilang tempat tinggal di Filipina
Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan puluhan ribu lain terpaksa meninggalkan rumah mereka selepas hujan lebat mengakibatkan banjir di seluruh Filipina tengah.
Pasukan penyelamat menggunakan bot dan tali untuk membantu mangsa yang terperangkap di rumah mereka di Samar Utara, salah satu wilayah paling teruk dilanda banjir, di mana kampung dan pekan ditenggelami air selepas hujan selama seminggu.
Memetik laporan Berita Harian yang dipetik dari kenyataan ketua bencana tempatan, Pedro Balanquit hujan bulanan di Catarman adalah sekitar 450 milimeter (mm) tetapi semalam sebanyak 619 mm, dengan air berlumpur membanjiri pusat beli-belah, rumah dan bangunan komersial.
Menurut agensi bencana negara, lebih 43,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka sementara menunggu air surut.
Dalam pada itu, seorang wanita maut di Pambujan, Samar Utara selepas dihempap pokok ketika tanah runtuh.
“Sungai-sungai masih melimpah kerana air dari pergunungan mengalir ke sana.
“Banjir mencecah puncak rumah dua tingkat,” katanya.
Filipina mengalami kira-kira 20 ribut besar setahun dan disenaraikan antara negara yang paling terdedah kepada kesan perubahan iklim.