Sekurang-kurangnya 90 rakyat Palestin maut serangan terbaru Israel
Serangan udara Israel di zon kemanusiaan Al-Mawasi di sini pada Sabtu membunuh sekurang-kurangnya 90 rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Israel pula mendakwa, serangan itu dibuat bagi menyasarkan ketua tentera Hamas, Mohammed Deif, lapor Berita Harian.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata beliau belum pasti Mohammed Deif dan seorang lagi komander Hamas sudah dibunuh, namun berjanji untuk terus menyasarkan pemimpin Hamas.
Beliau berkata, lebih banyak tekanan tentera ke atas kumpulan itu, sekaligus meningkatkan peluang kepada perjanjian tebusan biarpun sumber lain pula menyatakan rundingan berkenaan sudah dihentikan.
“Apapun, kami akan sampai ke seluruh kepimpinan Hamas,” kata Netanyahu pada sidang media, berikrar untuk meneruskan matlamat perang Israel hingga ke penghujung.
Kumpulan pejuang Pelestin itu menafikan Mohammed Deif dibunuh, menurut seorang pegawai kanan Hamas di TV Al Jazeera.
Hamas sebelum ini berkata, dakwaan Israel mereka menyasarkan pemimpin kumpulan itu adalah palsu, sebaliknya bertujuan untuk meneruskan serangan paling maut itu di Gaza sejak beberapa minggu lalu.
Selepas bedilan semalam, pelarian yang berlindung di kawasan itu berkata, mayat dan bahagian badan manusia berselerak di atas tanah.
“Saya tidak dapat memberitahu di mana saya berada atau apa yang sedang berlaku,” kata Sheikh Youssef, seorang penduduk Kota Gaza yang kini dipindahkan di kawasan Al-Mawasi.
“Saya meninggalkan khemah dan melihat sekeliling. Semua khemah musnah, anggota badan, mayat berada di mana-mana. Wanita tua dan kanak-kanak tercampak ke tanah,” katanya.
Tentera Israel berkata serangan terhadap Mohammed Deif turut menyasarkan Komander Briged Hamas di Khan Yunis, Rafa Salama, yang rejim itu mendakwa mereka sebagai dua daripada dalang serangan 7 Oktober tahun lalu ke atas selatan Israel selatan yang mencetuskan perang sembilan bulan di Gaza.
Seorang pegawai tentera Israel sebelum ini memberitahu pemberita mereka masih mengesahkan kematian pemimpin Hamas.
Mohammed Deif terselamat daripada tujuh cubaan bunuh oleh Israel, yang terbaru pada 2021 serta berada dalam senarai paling dikehendaki Israel selama beberapa dekad, dikatakan bertanggungjawab atas kematian berpuluh-puluh rakyat Israel.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata sekurang-kurangnya 91 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan itu dan 300 cedera, jumlah kematian paling banyak dalam beberapa minggu di kawasan yang dilanda konflik itu.
Al-Mawasi ialah kawasan perlindungan yang ditetapkan yang tentera Israel, namun mereka beberapa kali mengeluarkan arahan memaksa penduduk Palestin berpindah ke kawasan lain.