SEKOLAH PERTAMA UNTUK TRANSGENDER PERTAMA DIBUKA DI BANGLADESH
DHAKA: Bangladesh membuka sekolah Islam pertama untuk transgender Muslim dengan ulama menyifatkannya sebagai langkah pertama untuk mengintegrasikan minoriti yang ditindas itu kembali dalam masyarakat.
Madrasah itu adalah antara rangkaian gerakan terbaru di Bangladesh untuk memudahkan kehidupan hampir 1.5 juta orang transgender di negara majoriti Islam itu.
Kira-kira 50 pelajar transgender dilihat membaca ayat-ayat al-Quran untuk menandakan pembukaan Dawatul Islam Tritio Linger Madrasa atau Islamic Gender School, di pinggir ibu kota kelmarin.
Seorang pelajar berusia 33 tahun, Shakila Akhter, berkata beliau gembira dan berterima kasih kepada ulama kerana melakukan perubahan itu.
“Kami beragama Islam, namun kami tidak boleh pergi ke masjid, bahkan kami tidak dapat bergaul dengan anggota masyarakat lain,” katanya kepada AFP.
Akhter dilahirkan sebagai gadis dan berhasrat menjadi doktor atau peguam tetapi cita-citanya tidak tercapai selepas dia meninggalkan rumah ketika masih kanak-kanak untuk menyertai masyarakat transgender.
Sekumpulan ulama diketuai Abdur Rahman Azad mengubah tingkat atas sebuah bangunan tiga tingkat menjadi sekolah dengan bantuan dana badan amal tempatan.
Pasukan Azad, yang mengajar al-Quran kepada tujuh kumpulan transgender di Dhaka, berkata madrasah semakin berkembang dan menjadi tapak asas bagi integrasi masyarakat.
Sehingga 150 pelajar dewasa mendapat pelajaran yang sama di madrasah tradisional, di mana al-Quran diajarkan bersama dengan falsafah Islam, Benggali, bahasa Inggeris, matematik dan sains sosial.
Azad berkata, transgender yang dikenali sebagai hijra di Bangladesh, sudah banyak menderita.
“Sudah terlalu lama mereka menjalani kehidupan yang sengsara kerana tidak dapat pergi ke sekolah, madrasah atau masjid.
“Mereka menjadi mangsa penindasan dan kita, masyarakat dan negara harus dipersalahkan atas perkara ini.
“Kami ingin mengakhiri penindasan ini kerana Allah tidak membeza-bezakan antara manusia. Islam memperlakukan semua orang sebagai manusia dan hijra harus menikmati semua hak seperti manusia lain,” katanya.
Tahun lalu, transgender diizinkan mendaftar untuk memilih keadaan fizikal mereka sebagai jantina ketiga dan jumlah mereka akan dihitung dalam bancian tahun depan di seluruh negara dengan 168 juta penduduk itu.
Masyarakat lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) menghadapi penindasan hebat di negara Asia Selatan itu, di mana undang-undang era penjajah masih digunakan untuk memenjarakan individu gay, walaupun jarang dikuatkuasa.
Sumber: Berita Harian