Kenyataan Media

RUSIA BOM 4 HOSPITAL SYRIA DALAM 12 JAM

WASHINGTON, 14 Okt – Jet pejuang Russia mengebom empat hospital di wilayah ditawan pemberontak di Syria dalam tempoh hanya 12 jam awal tahun ini, lapor akhbar The New York Times (NYT), semalam.

Serangan pada Mei lalu yang dikaitkan akhbar dengan Moscow menerusi rakaman radio Russia, log pengesan pesawat dan keterangan saksi, adalah sebahagian corak lebih besar kemudahan perubatan disasar tentera menyokong Presiden Syria Bashar al-Assad dalam perang saudara negara itu.

Hospital Pembedahan Nabad al Hayat yang mana kakitangannya melarikan diri tiga hari sebelum serangan, adalah antara yang dibom dalam tempoh 12 jam bermula awal 5 Mei lalu, menurut siasatan NYT.

Pusat kawalan darat Russia memberi koordinat sebenar hospital kepada juruterbang, yang melaporkan melihat sasaran beberapa minit kemudian.

Pusat kawalan memberi kebenaran meneruskan serangan pada masa sama seorang pemerhati yang ditugaskan memberi amaran kepada orang awam sebelum serangan memaklumkan kehadiran jet pejuang Russia di kawasan itu.

Juruterbang kemudian dilaporkan menggugurkan bom manakala wartawan tempatan yang membuat rakaman merekodkan tiga bom menembusi bumbung dan meletup.

Hospital Pembedahan Kafr Nabl, terletak beberapa kilometer dari situ juga dibom beberapa kali sejurus selepas itu.

Seperti mana serangan sebelumnya, seorang pemerhati melaporkan melihat jet pejuang Moscow dan transmisi tentera udara Russia merekodkan seorang juruterbang mengatakan dia ‘mengesan’ sasaran sebelum melepaskan tiga serangan yang disahkan seorang doktor.

Hospital Gua Kafr Zita dan Hospital Ortopedik Al Amal juga dibom jet pejuang Russia dalam tempoh 12 jam. Kesemua empat kemudahan itu memberi koordinat kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk dimasukkan dalam senarai bagi mengelak serangan.

Bulan lalu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres mengumumkan, beliau menubuhkan satu siasatan dalaman terhadap pengeboman hospital di Syria yang sebelum itu mendedahkan koordinat mereka.

Puluhan kemudahan perubatan yang ada kaitan dengan PBB dirosak atau dimusnahkan dalam serangan bom tahun ini. Russia menafikan sengaja menyasar kemudahan awam.

Sumber: Berita Harian