RIBUT SEKUAT TAUFAN LANDA FILIPINA
MANILA: Sekurang-kurangnya seorang maut manakala 17 lagi hilang selepas satu ribut yang mengakibatkan hujan lebat dan banjir melanda Filipina.
Pihak berkuasa hari ini mendakwa ia ada taufan kuat yang menghala ke negara berkenaan.
Majlis Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Negara, berkata ribut tropika Conson melanda timur Samar Isnin lalu dan hanya lemah selepas melepasi kepulauan, sekali gus menyebabkan sekitar 10,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka.
Seorang jurucakap agensi itu, Mark Timbal, berkata seorang ditemui lemas di pulau Marinduque.
Dua lagi dilaporkan maut di Masbate, namun belum disahkan oleh pihak berkuasa.
Sekurang-kurangnya 17 orang, kebanyakannya adalah nelayan dilaporkan hilang.
Agensi bencana menyatakan, banjir direkodkan di negeri sekitar ibu negara.
Hujan lebat dan banjir berlaku tatkala Taufan Chanthu – berkelajuan 195 kilometer sejam – membadai Laut Filipina sehingga ke timur laut negara itu.
Agensi cuaca berkata, taufan berkenaan dijangka melandai di wilayah Cagayan esok, meninggalkan hujan lebat sebelum menuju ke arah Taiwan.
Pegawai agensi bencana negeri, Darwin Sacramed memberitahu AFP, wilayah Cagayan adalah lokasi yang berisiko dan perpindahan adalah disarankan kepada mereka yang mempunyai struktur rumah yang lemah.
Filipina secara purata dilanda 20 ribut dan taufan setiap tahun dan mengganggu kehidupan penduduk negara itu.
Sainstis dunia berkata, ketika lapisan permukaan laut menjadi panas akibat perubahan iklim, ribut tropika dikesan menjadi lebih kuat dengan membawa lebih banyak air sehingga menimbulkan ancaman terhadap masyarakat pesisir dunia.
Ribut tropika terburuk melanda negara itu adalah Taufan Haiyan, yang mengakibatkan kematian serta kehilangan 7,300 orang.
Sumber: Berita Harian