Ribuan berhimpun di Manhattan tanda solidariti terhadap Palestin
NEW YORK: Ribuan penunjuk perasaan berkumpul di Manhattan semalam sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.
Menurut sumber, Berita Harian, perhimpunan aman itu menyaksikan penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin berjalan dari Times Square menuju ke bangunan Konsulat Israel dan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ketika persidangan Majlis Keselamatan PBB berlangsung.
Tunjuk perasaan itu berlaku ketika tindakan segera Amerika Syarikat (AS) mengesahkan sokongannya terhadap Israel, dengan Presidennya, Joe Biden mengarahkan kapal dan pesawat perang AS mendekati sekutunya dan menghantar bantuan ketenteraan baharu.
Petang kelmarin, beberapa pertubuhan termasuk ‘Jewish Voice for Peace’ dan ‘If Not Now’ cawangan New York berarak ke rumah pemimpin majoriti Senat, Chuck Schumer di Brooklyn bagi menggesa menamatkan semua pembiayaan ketenteraan AS kepada Israel.
Schumer adalah antara pemimpin politik AS yang mengulangi sokongan untuk Israel dan ‘haknya yang tidak berbelah bahagi untuk mempertahankan diri’.
Dalam protes berasingan di Manhattan, ratusan mengibarkan bendera Israel sebagai tindak balas mengecam serangan Hamas.
Perhimpunan itu tercetus akibat peningkatan keganasan semalam yang mengorbankan ratusan dan mencederakan ribuan lagi di rantau itu, selepas kumpulan pejuang Hamas melancarkan serangan maut ke atas Israel yang bertindak balas menyerang ruang udara Semenanjung Gaza, Palestin.
“Kami berkumpul sebagai solidariti kepada rakyat Palestin yang berjuang selama 75 tahun penjajahan tentera Israel, keganasan pendudukan dan 16 tahun sekatan tentera ke atas Gaza,” kata ahli kumpulan Pergerakan Belia Palestin, Munir Atalla, 30, antara seorang penganjur demonstrasi itu.
Perhimpunan itu antara lain menyokong perjuangan Palestin di bandar utama Amerika termasuk Washington dan Chicago.
Peserta perhimpunan solidariti Palestin, Morgan Bassichis, 40 walaupun berbangsa Yahudi, percaya setiap orang, tanpa pengecualian seharusnya bebas, dengan beliau menyokong gerakan kebebasan Palestin.
Beliau percaya semua keganasan di rantau ini adalah hasil daripada punca apartheid Israel.
“Adalah tugas kami sebagai rakyat AS untuk menggesa kerajaan menghentikan pembiayaan Israel,” katanya.