WhatsApp Image 2024-12-30 at 09.20.46
Uncategorized @ms

RESPON TERHADAP PENDEKATAN HTS DALAM ISU PALESTIN DAN PEMBANGUNAN SYRIA

[30 Disember 2024]

Serantau Muslim mengambil maklum kenyataan Hay’at Tahrir al-Sham (HTS) yang menyatakan keutamaan mereka buat masa ini adalah pembangunan semula Syria, dan untuk tidak campur tangan secara langsung dalam isu Israel dan Palestin. Kami memahami cabaran besar yang dihadapi dalam memulihkan sebuah negara selepas konflik panjang, dan menghormati hak mereka untuk menetapkan keutamaan mengikut keperluan semasa.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh Abu Mohammed al-Jolani, pemimpin HTS:
“Kami tidak menginginkan konflik apa pun, baik dengan Israel atau siapa pun, dan kami tidak akan membiarkan Syria digunakan sebagai landasan peluncuran serangan.” 

Syria, khususnya Damsyik, adalah pusat strategik dalam sejarah kebangkitan umat Islam. Pembebasan Damsyik pada 8 Disember 2024 adalah peristiwa penting yang membuka jalan kepada kestabilan dan pembangunan.

Namun, kami juga ingin menegaskan bahawa isu Masjid Al-Aqsa dan pembebasan Palestin adalah tanggungjawab bersama yang tidak boleh diabaikan dalam apa jua keadaan.

Sejarah membuktikan bahawa usaha pembangunan dan perjuangan boleh berjalan serentak. Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab RA dan Salahuddin Al-Ayyubi, kestabilan dan perpaduan di Syria menjadi asas kepada pembebasan Baitul Maqdis. Kejayaan mereka mengingatkan kita bahawa pembangunan dalaman mesti diselaraskan dengan kesedaran terhadap tanggungjawab global umat Islam, terutama dalam isu pembebasan Masjid Al-Aqsa.

Serantau Muslim menyeru agar usaha pembangunan semula Syria terus diperkukuh dengan mengambil kira peranan besar Syria sebagai benteng utama perjuangan umat Islam di Palestin.

Kami yakin bahawa pembangunan dan pembebasan Palestin bukanlah pilihan yang berasingan, tetapi saling melengkapi.

Kami juga percaya bahawa semangat untuk membebaskan Baitul Maqdis tetap hidup dalam kalangan rakyat Syria, dan dengan kestabilan yang lebih kukuh, peranan Syria dalam perjuangan umat Islam sejagat akan menjadi lebih bermakna.

Semoga usaha kita semua diberkati Allah, dan semoga kita dapat menyaksikan janji Allah yang agung untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa menjadi kenyataan:
“Dan hendaklah mereka masuk ke dalam masjid sebagaimana mereka memasukinya pada kali pertama.” (Surah Al-Isra’: 7)

KAPTEN BERSEKUTU (PA) USTAZ HAKIM MOHD NOR
Pengerusi
Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim