Remaja Palestin ditembak mati tentera Isra3l di Tebing Barat
RAMALLAH: Tentera Israel menembak mati seorang remaja Palestin pada Selasa lalu, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Mohammed Shehade, 14, maut selepas terkena tembakan di Al-Khader di kawasan Baitulaham.
Tentera Israel dalam kenyataannya pula, mengesahkan kematian remaja terbabit dan mendakwa mangsa antara tiga suspek disyaki terbabit membaling bom molotov ke arah pengguna jalan raya.
Menurut kenyataan itu lagi, anggota tentera sedang menjalankan operasi anti pengganas di kawasan Al-Khader di mana beberapa pemandu kenderaan awam menjadi sasaran serangan sejak beberapa bulan lalu.
“Anggota tentera melepaskan tembakan ke arah seorang daripada tiga suspek yang membaling bom molotov ke arah kenderaan dan tembakan itu kena pada suspek.
“Anggota tentera berusaha memberikan bantuan, namun suspek meninggal dunia,” katanya.
Korban terbaru itu berlaku selepas tentera Israel menembak mati seorang lagi remaja Palestin, Nehad Bargouthi, 19, di Tebing Barat seminggu lalu.
Dua hari sebelum itu, seorang lagi remaja berusia 17 tahun, Mohammed Abu Salah, ditembak selepas perbalahan berlaku ketika tentera Israel memusnahkan sebuah kediaman rakyat Palestin yang didakwa terbabit dalam pembunuhan penduduk Yahudi di Tebing Barat.
Sumber: BH