PULUHAN MAUT KEBAKARAN JEL SESAK DI INDONESIA
JAKARTA: Satu kebakaran di blok penjara yang sesak di wilayah Banten, Indonesia, awal pagi semalam telah membunuh sekurang-kurangnya 41 orang dan mencederakan puluhan lain, kata jurucakap pemerintah dan laporan media.
Kebakaran itu, yang berlaku sekitar 1 pagi hingga 2 pagi di Blok C Penjara Tangerang, telah dipadamkan dan pihak berkuasa telah mengosongkan kemudahan tersebut, kata jurucakap jabatan penjara Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia, Cik Rika Aprianti.
“Puncanya sedang disiasat,” katanya.
Blok itu menempatkan banduan yang ditahan bagi kesalahan berkaitan dadah dan boleh memuatkan 122 orang, menurut beliau.
Cik Rika tidak menyatakan berapa ramai orang ada di situ apabila kebakaran berlaku tetapi mengesahkan penjara itu sesak.
Dua warga asing antara 41 tahanan yang terbunuh, menurut Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia, Encik Yasonna Laoly.
Beliau berkata dalam satu sidang media warga asing itu berasal dari Afrika Selatan dan Portugal.
Penjara di Tangerang itu, sebuah hab perindustrian dan pembikinan dekat Jakarta, menempatkan lebih 2,000 tahanan, jauh lebih ramai daripada had muatan 600 orang, menurut data pemerintah pada September.
Sel dikunci ketika kebakaran, kata menteri itu, tetapi dengan api di luar kawalan, “beberapa bilik tidak dapat dibuka”.
Terdahulu, Cik Rika dilaporkan berkata 122 banduan ditahan atas kesalahan berkaitan dadah di blok yang dibina untuk menampung 38 orang itu.
Pagi semalam, televisyen tempatan menunjukkan rakaman kebakaran itu, dan kemudian rakaman bangunan tersebut, yang hangus dijilat api, sedang mangsa ditarik keluar dari tempat kejadian dalam beg mayat berwarna jingga.
Dr Hilwani daripada Rumah Sakit Umum Tangerang memberitahu Reuters beberapa mayat begitu rentung hingga tidak dapat dikenal pasti.
“Kami mengesyaki ia disebabkan litar pintas elektrik,” kata jurucakap polis Yusri Yunus kepada Metro TV, yang menukil laporan polis yang berkata 73 orang juga cedera ringan.
Pemasangan wayar elektrik di penjara itu tidak dinaik taraf sejak 1972 apabila penjara tersebut dibina, kata Encik Yasonna dalam taklimat semalam.
Encik Leopold Sudaryono, seorang pakar kaji jenayah dan calon PhD di Universiti Kebangsaan Australia, berkata keadaan sesak menyulitkan usaha pemindahan kecemasan.
“Di penjara Tangerang hanya ada lima pengawal yang bekerja satu syif untuk menjaga penjara yang mempunyai 2,079 orang,” katanya. “Jadi usaha pengesanan kebakaran dan evakuasi sukar dilakukan.”
Ketua penjara itu belum memberi komen tentang nisbah tahanan dengan pengawal, atau had muatan kemudahan tersebut.
Cik Rika memberitahu media tempatan 13 pengawal bertugas di kemudahan itu semasa kebakaran berlaku.
Sumber: Berita Harian Singapura