PILIHANRAYA ISRAEL- PENINDASAN TERHADAP PALESTIN MASIH SAMA
TEL AVIV, 17 Sept. – Penduduk Yahudi yang akan mengundi buat kali kedua dalam tempoh kurang enam bulan pada hari ini.
Pilihan raya itu juga mungkin menjadi penentu nasib Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sama ada dapat mengekalkan jawatannya untuk penggal kelima atau sebaliknya.
Ia diadakan susulan kegagalan pemimpin Parti Likud berusia 69 tahun itu membentuk kerajaan campuran selepas pilihan raya April lalu.
Netanyahu yang terdesak untuk mengekalkan kuasa dicabar bekas ketua tentera, Benny Gantz.
Gantz yang mengetuai Pakatan Biru dan Putih dilihat menggunakan isu pendakwaan rasuah Netanyahu sebagai strategi memancing undi, taktik sama digunakannya semasa pilihan raya April lalu.
Gantz adalah ketua turus kakitangan ketika perang Israel pada 2014 dan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau berbangga membunuh 1,364 rakyat Palestin yang disifatkan sebagai pengganas.
Pemimpin berusia 59 itu turut berjanji memperbaiki ‘kemusnahan’ yang dilakukan Netanyahu terhadap Israel menerusi politik yang berpecah- belah.
Bagaimanapun, Gantz dan Netanyahu tetap mempunyai matlamat sama iaitu memisahkan Gaza dari Tebing Barat.
Sekiranya Netanyahu memenangi pilihan raya ini, beliau bakal mengatasi David Ben-Gurion sebagai Perdana Menteri Israel yang paling lama berkhidmat.
Diberi gelaran ‘King Bibi’ Netanyahu telah menyandang jawatan Perdana Menteri selama lebih 13 tahun.
Dalam masa yang sama, pilihan raya kali ini turut menyaksikan penyertaan parti berhaluan kiri, Pakatan Arab atau Arab Joint List.
Pakatan Arab yang dibarisi empat parti Palestin iaitu Hadash, Taal, Balad dan the United Arab List menggunakan slogan ‘perpaduan adalah kekuatan kita’ sebagai senjata meraih sokongan penduduk Arab-Israel dan rakyat Palestin yang tinggal di wilayah diduduki.
Pada April lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya Israel menggantung penyertaan Pakatan Arab selepas mendakwa pakatan berkenaan menyokong ‘pengganas’ menentang Israel.
“Kenyataan merendah-rendahkan orang Palestin (warganegara Israel) tidak boleh diterima sama sekali.
“Ini membuatkan Pakatan Arab dan pengundi kami bersemangat menjatuhkan Netanyahu,” kata pemimpin Taal, Ahmed al-Tibi Sejak beberapa minggu lalu, Netanyahu menyebarkan berita tidak benar mengenai pakatan Arab.
Netanyahu menuduh Parti Balad meraih undi menerusi pengundi hantu pada pilihan raya lepas namun sehingga kini tiada pendakwaan dikenakan ke atas individu atau parti tersebut.
Beliau turut menyebarkan kebimbangan dalam kalangan penduduk Yahudi dengan menyatakan ‘orang Arab mahu memusnahkan kita’.
“Kenyataan dan tuduhan Netanyahu amat berbahaya. Kami perlu menamatkan hasutan berbaur perkauman terhadap populasi Arab-Israel,” kata pemimpin pakatan Arab dan Hadash, Aymen Odeh.
Namun begitu, perbezaan ideologi antara Netanyahu dan Gantz tidak memberi sebarang makna kepada rakyat Palestin.
Lebih membimbangkan apabila Netanyahu mengumumkan mahu merampas Lembah Jordan sekiranya menang kali ini.
Bagaimanapun, menurut Netanyahu, beliau akan berbuat demikian dengan kerjasama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang dijangka mengumumkan pelan damai kontroversi digelar ‘Deal of the Century’ selepas Pilihan Raya Israel selesai.
Usaha itu boleh membunuh saki-baki harapan bagi mencapai perjanjian damai bagi penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.
Sumber: Sinar Harian