WhatsApp Image 2025-03-13 at 15.44.11
Aktiviti SM

PERBINCANGAN MEJA BULAT GBSS: PEMBENTUKAN STRUKTUR ORGANISASI DAN FOKUS ENAM KLUSTER UTAMA PEMBANGUNAN SEMULA SYRIA

Kuala Lumpur, 12 Mac 2025 – Gabungan Bina Semula Syria (GBSS), yang terdiri daripada 20 NGO kemanusiaan berdaftar di Malaysia, telah mengadakan satu Perbincangan Meja Bulat semalam bagi merangka strategi komprehensif untuk pembangunan semula Syria selepas pembebasan penuh negara tersebut pada 8 Disember 2024.

Antara NGO yang terlibat dalam GBSS termasuk Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Syria Care, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Persatuan Alumni Syria Malaysia, Pertubuhan Peduli Insan Malaysia, Pertubuhan Kebajikan FL (Childrity), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Cinta Syria Malaysia (CSM), HALUAN, Cinta Gaza Malaysia (CGM), Alkhair Malaysia, Global Ehsan Relief Malaysia, Muslim Care Malaysia, HUMAM Relief, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), My Fund Action, MERCY Malaysia, dan MRA.

Dalam perbincangan tersebut, GBSS telah membentuk struktur organisasi yang kukuh untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang dirancang. Kapten Bersekutu (PA) Ustaz Hakim Mohd Nor, Pengerusi Serantau Muslim, telah dilantik sebagai Pengerusi GBSS, memimpin gabungan ini dalam usaha menyelaras bantuan kemanusiaan dan pembangunan semula Syria.

Selain itu, GBSS telah mengenal pasti enam kluster utama sebagai fokus dalam usaha pemulihan dan pembangunan semula Syria, iaitu pendidikan, ekonomi, penempatan (rehabilitasi), kebajikan, kesihatan, dan advokasi.

Seruan kepada Kerajaan Malaysia

Dalam merealisasikan matlamat ini, GBSS menyeru Kerajaan Malaysia, di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, untuk mengiktiraf secara rasmi kerajaan Syria yang baharu bagi menyokong kestabilan dan kedaulatan negara tersebut, serta memperkukuhkan hubungan diplomatik dan kerjasama dalam aspek pembangunan semula Syria.

Langkah ini selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan ihsan, kemanusiaan, dan solidariti antarabangsa dalam membela hak negara yang sedang membina semula kestabilan dan kedaulatannya.

Dengan pembentukan struktur organisasi yang jelas dan fokus kepada enam kluster utama, GBSS berharap dapat memainkan peranan yang signifikan dalam membangunkan kembali Syria serta memastikan rakyatnya mendapat kehidupan yang lebih baik pasca-konflik.