Info SemasaKenyataan Media

PENUNJUK PERASAAN MYANMAR MULAKAN PROTES ‘SIMBAH CAT MERAH’

YANGON: Penunjuk perasaan membantah rampasan kuasa di Myanmar hari ini memulakan kempen ‘simbah cat merah’ bagi menggambarkan percikan darah.

Ia sebagai tanda simbolik mengingati lebih 700 nyawa yang terkorban dalam keganasan pihak tentera sejak 1 Februari lalu, selepas mereka menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi.

Pihak tentera berusaha untuk mengakhiri tunjuk perasaan besar-besaran dengan menggunakan tindakan keras sehingga mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 714 orang awam.

Penunjuk perasaan menggunakan kesempatan cuti tahun baru Myanmar kelmarin untuk berarak di jalan dan menyimbah cat merah di perhentian bas dan kaki lima di beberapa buah bandar di seluruh negara.

Di Mandalay, cat merah memenuhi jalan selain penunjuk perasaan membawa kain rentang yang tertulis ‘harap kepimpinan diktator tentera kita gagal’, ‘menjatuhkan era ketakutan’ dan ‘darah belum kering di jalan’.

Penunjuk perasaan turut menyembur cat merah di kaki lima Yangon dan meninggalkan nota ‘Kehadapan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) apa khabar? Harap anda baik kerana kami di Myanmar sedang nazak’.

Sementara itu, aktivis di bandar Monywa, Sagaing dan Dawei serta beberapa bandar di wilayah Mandalay berarak dengan motosikal membawa bendera Liga Nasional Demokrasi (NLD), parti politik pimpinan Suu Kyi.

Media Myanmar melaporkan semalam, tujuh penunjuk perasaan yang dituduh atas pembunuhan seorang suspek pemberi maklumat dijatuhi hukuman mati di sebuah mahkamah tentera di Yangon.

Tiga daripada suspek bagaimanapun tidak hadir ketika mahkamah memutuskan hukuman berkenaan.

Tentera juga semalam mengumumkan puluhan lagi individu dimasukkan ke dalam senarai waran tangkap yang kini menyenaraikan 260 pesalah membabitkan selebriti, doktor dan orang awam.

Menurut Persatuan Bantuan Tahanan Politik (PPAA), di wilayah barat laut Sagaing, pasangan suami isteri yang sedang menghantar susu ditembak mati ketika pihak tentera menyerbu bandar Tamu.

Sumber: Berita Harian