WhatsApp Image 2024-10-28 at 11.08.08 AM
Aktiviti SMInfo Semasa

PENGERUSI SM TERIMA ANUGERAH TEMENGGONG TUN HASSAN DMDI

SINGAPURA, 28 Oktober – Kapten Bersekutu (PA) Ustaz Mohd Hakim bin Haji Mohd Nor, yang juga Pengerusi Serantau Muslim dan Pengerusi Biro Prihatin Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), menerima Anugerah Temenggong Tun Hassan daripada Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka yang juga merupakan Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Majlis penganugerahan berlangsung dengan meriah di Hotel Furama City Centre, Singapura dan turut disaksikan oleh beberapa tetamu kehormat termasuk mantan Presiden Singapura, Hajah Halimah Hasan, dan Presiden Jamiyah Singapura, Datuk Dr Mohd Hasbi Abu Bakar. Penganugerahan ini juga menyaksikan kehadiran delegasi dari 16 negara, antaranya Indonesia, Kemboja, Bosnia Herzegovina, United Kingdom, Sri Lanka, Australia, Timor Leste, dan Thailand.

Anugerah tersebut disampaikan sebagai penghargaan atas keaktifan Ustaz Hakim melalui Serantau Muslim dan Biro Prihatin DMDI dalam misi bantuan kemanusiaan yang giat dijalankan terutamanya dalam menyokong dan membantu perjuangan rakyat Palestin. Serantau Muslim telah memainkan peranan yang sangat signifikan dalam menganjurkan seminar-seminar berprestij berkaitan isu Palestin, yang bukan sahaja meningkatkan kesedaran awam, tetapi juga menggerakkan pelbagai inisiatif bantuan jangka panjang untuk masyarakat di sana. Komitmen Serantau Muslim dalam usaha menyokong Palestin mendapat pujian tinggi daripada pelbagai pihak antarabangsa. Antara kejayaan besar mereka termasuklah penganjuran Himpunan 1,000,000 Pembela Palestin peringkat negeri Melaka di Stadium Hang Jebat yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka sebagai perasmi.

Dalam satu temu bual selepas majlis, Ustaz Hakim meluahkan rasa syukur dan terharu atas pengiktirafan ini. “Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih kepada TYT Tun Seri Setia Dr Haji Mohd Ali atas penghargaan ini. Ia merupakan satu motivasi buat kami di Serantau Muslim dan Biro Prihatin DMDI untuk terus menggerakkan usaha bantuan kemanusiaan, bukan sahaja di Palestin tetapi di seluruh dunia. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh pasukan yang sentiasa bersama dalam perjuangan ini, kerana tanpa mereka, kejayaan ini tidak mungkin dapat dicapai. Semoga usaha kecil kami ini dapat memberikan sedikit sinar harapan kepada saudara-saudara kita yang memerlukan,” ujar beliau dengan penuh rasa rendah diri.

Majlis berakhir dengan sesi fotografi bersama tetamu kehormat, sekaligus menandakan satu lagi lembaran gemilang dalam sejarah perjuangan kemanusiaan yang dipelopori oleh Serantau Muslim dan DMDI.