WhatsApp Image 2024-10-27 at 10.26.36 PM (1)
Aktiviti SMInfo Semasa

Serantau Muslim sertai RTD inkubator, giat usaha perkasa ekonomi asnaf

Bangi, 24 Oktober – Pengerusi Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Bin Haji Mohd Nor, telah menghadiri Program RTD Inkubator Asnaf: Integrasi Wakaf dan Zakat Dalam Memperkasakan Ummah yang dianjurkan bersama oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), iWaqaf, dan We Care di Bangi Golf Resort. Program ini bertujuan untuk membincangkan pendekatan strategik dalam memastikan dana wakaf dan zakat dapat dimanfaatkan dengan lebih berkesan bagi membantu golongan asnaf.

Dalam ucapannya, Ustaz Mohd Hakim menekankan pentingnya dana wakaf dan zakat digunakan untuk menjana projek ekonomi sebelum diagihkan kepada asnaf. Menurut beliau, pendekatan ini bukan sekadar memberi bantuan sementara, tetapi juga menyediakan peluang pendapatan yang boleh membantu mereka berdikari.

“Kita perlu pastikan dana wakaf dan zakat ini disalurkan kepada projek yang boleh hasilkan ekonomi yang mampan. Kalau kita laburkan dana ini untuk jana peluang pekerjaan atau perniagaan kecil, asnaf boleh berdiri atas kaki sendiri dan tidak lagi perlu bergantung pada bantuan jangka pendek. Ini yang kita nak capai, supaya mereka boleh keluar daripada kitaran kemiskinan,” katanya.

Pengerusi iWaqaf, Datuk Dr. Hj. Mohd Ghazali Md Noor, turut berkongsi pandangan mengenai peranan wakaf dan zakat dalam memperkasakan ummah. Menurut beliau, kerjasama erat antara institusi pendidikan, NGO, dan masyarakat amat penting untuk memastikan dana ini dimanfaatkan dengan lebih strategik.

“Wakaf dan zakat adalah instrumen ekonomi yang sangat berpotensi. Jika diuruskan dengan baik, ia boleh membina kekuatan ekonomi yang lebih kukuh dalam kalangan ummah. Usaha seperti RTD Inkubator ini ialah satu langkah penting untuk memastikan dana tersebut digunakan secara bijak dan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” jelas Datuk Dr. Hj. Mohd Ghazali.

Prof. Dr. Abdul Ghafar Ismail dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga memberikan pandangannya mengenai perlunya pendekatan yang sistematik dalam pengurusan dana wakaf dan zakat. Beliau menekankan bahawa inovasi dalam pengurusan kewangan Islam boleh menjadi kunci untuk memaksimumkan impak dana tersebut.

“Kita harus melihat bagaimana kita boleh mengembangkan dana wakaf dan zakat ini melalui pelaburan yang bijak dan terancang. Dengan menggabungkan elemen pembelajaran dan latihan, kita bukan sahaja memberi bantuan kewangan tetapi juga membina kapasiti individu dalam kalangan asnaf untuk terlibat dalam ekonomi yang lebih besar. Inilah pendekatan holistik yang kita perlu terapkan,” katanya.

Program ini turut menampilkan pembentangan daripada UKM dan Think Big Training (TBT), yang mengetengahkan strategi integrasi wakaf dan zakat dalam memperkasakan ekonomi komuniti asnaf. Sesi perbincangan dan rumusan turut diadakan, dengan penyertaan daripada pelbagai pihak yang komited dalam usaha memperkasa ekonomi ummah melalui dana wakaf dan zakat.