Penduduk Gaza kebuluran teruk – WHO
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran penduduk Gaza berada dalam bahaya besar kerana diancam krisis kebuluran teruk dan terdesak, di seluruh wilayah Palestin yang dilanda perang.
Tambahan pula, sistem penjagaan kesihatan di Semenanjung Gaza terjejas teruk akibat perang kerana hanya 15 daripada 36 hospital yang berfungsi setakat ini.
Berita Harian melaporkan bahawa Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, menggesa masyarakat antarabangsa untuk mengambil langkah segera untuk mengurangkan bahaya besar yang dihadapi penduduk Gaza.
Beliau berharap krisis di Palestin tidak menjejaskan keupayaan petugas kemanusiaan membantu individu yang cedera teruk, kelaparan dan berisiko tinggi dijangkiti penyakit.
Berkongsi pengalaman petugas WHO yang berada di lapangan, katanya, ada penduduk yang lapar menahan kenderaan WHO semalam untuk meminta makanan.
“Keupayaan WHO untuk membekalkan bantuan perubatan dan bahan api kepada hospital semakin terhalang oleh kelaparan serta orang ramai terdesak ketika kami dalam perjalanan, termasuk apabila sampai di hospital”.
Perang Israel-Palestin yang meletus sejak 7 Oktober lalu, menyaksikan sekurang-kurangnya 21,110 orang terbunuh, kebanyakan wanita dan kanak-kanak seperti data direkodkan Kementerian Kesihatan Gaza.
Mengulas lanjut situasi kakitangan WHO di Gaza, Dr Tedros berkata keselamatan mereka bergantung kepada bekalan makanan dan status operasi di wilayah itu.
“Keselamatan kakitangan kami dan kesinambungan operasi bergantung kepada lebih banyak makanan yang tiba di seluruh Gaza, serta-merta,” katanya.
Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSC) minggu lalu menetapkan urusan penghantaran bantuan kemanusiaan secara selamat dan tanpa halangan.
Bagaimanapun, tiada ketetapan dalam resolusi untuk menggesa agar peperangan di wilayah itu segera dihentikan.
Dr Tedros berpandangan, resolusi itu mampu memberi harapan untuk penambahbaikan dalam agihan bantuan kemanusiaan di Gaza.