Pejuang isu hijab dilarang ambil peperiksaan
New Delhi: Pelajar di Karnataka, India yang memperjuangkan hak untuk memakai tudung di sekolah tidak dapat menduduki semula peperiksaan sekolah menengah, ketika kemuncak bantahan mengenai perkara itu sebelum ini.
Ia sama ada kerana pada masa itu, mereka tidak dibenarkan masuk ke sekolah kerana memakai tudung atau mereka memboikot ujian untuk membantah peraturan, lapor The Independent.
Walaupun kerajaan sebelum ini membayangkan bahawa pelajar akan dibenarkan mengambil semula peperiksaan ini, pihak terbabit memutuskan untuk tidak berbuat demikian, menurut laporan media tempatan.
Menteri Pendidikan Karnataka BC Nagesh berkata, adalah mustahil untuk memberikan peluang kedua kepada pelajar yang terbabit dalam bantahan berkenaan, menurut The Times of India.
“Sekiranya kita membenarkan pelajar yang memboikot kerana tidak dibenarkan memakai tudung menduduki peperiksaan walaupun selepas mahkamah tinggi memberi perintah interim, maka pelajar lain akan datang dengan alasan lain dan mencari peluang kedua,” katanya.
Sumber: Harian Metro