WhatsApp Image 2024-02-20 at 10.04.13 AM
Info Semasa

Norway mudahkan pemindahan dana kepada Pihak Berkuasa Palestin

Norway bersetuju untuk membantu memudahkan pemindahan dana cukai beku yang diperuntukkan untuk Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang dikutip oleh Israel.

Dalam laporan Berita Harian, di bawah perjanjian damai sementara yang dicapai pada 1990-an, Kementerian Kewangan Israel akan mengutip cukai bagi pihak Palestin dan membuat pemindahan bulanan kepada PA, tetapi pertikaian tercetus mengenai pembayaran susulan serangan 7 Oktober oleh pejuang Hamas.

Menurut Perdana Menteri Norway, Jonas Gahr Stoere, penyelesaian sementara itu akan membolehkan pembayaran disambung semula dan mengelak keruntuhan kewangan PA bagi membolehkannya membayar gaji dan menyediakan perkhidmatan penting seperti sekolah dan penjagaan kesihatan.

“Ini penting untuk menggalakkan kestabilan di rantau ini dan PA mempunyai legitimasi dalam kalangan rakyatnya.

“PA kemudiannya bersedia menerima dana lain.

Di bawah penyelesaian yang dipersetujui dengan pegawai Israel dan Palestin, Norway akan menjadi perantara untuk memegang hasil yang ditahan oleh Israel sejak 7 Oktober lalu.

Menurut jurucakap Kementerian Luar Norway, bahagian pendapatan Norway akan kekal sama dengan bahagian yang dianggarkan Israel untuk Gaza.

Mengakses hasil adalah kunci kepada kelangsungan PA, yang menjalankan pemerintahan sendiri yang terhad di Tebing Barat diduduki Israel.

Beberapa negara Barat, termasuk Amerika Syarikat juga mahu PA memainkan peranan dalam pentadbiran Semenanjung Gaza sekiranya perang berakhir.

Pada 2 November, Israel berkata ia akan meneruskan pemindahan hasil cukai kepada PA di Tebing Barat tetapi akan menahan dana untuk Gaza yang diperintah oleh Hamas, di mana PA membantu menampung gaji sektor awam serta program perubatan dan bantuan sosial.

Tetapi pada 6 November, PA berkata pihaknya mahu wang itu sepenuhnya dan tidak akan menerima syarat yang menghalangnya daripada membayar kakitangan, di mana 30 peratus daripada hasil itu adalah untuk di Gaza.

Pada 21 Januari, pegawai Israel dilaporkan berkata, Kabinet Israel meluluskan rancangan untuk dana cukai beku yang diperuntukkan untuk Semenanjung Gaza dipegang oleh Norway dan bukannya dipindahkan kepada PA.