Kenyataan Media

NGO AS BIMBANG KEMPEN INDIA SINGKIR JUTAAN PENDUDUK MUSLIM DI ASSAM

 

WASHINGTON, 28 Ogos – Seorang pemimpin badan penasihat kerajaan Amerika Syarikat (AS) semalam menyuarakan kebimbangan berhubung kempen India untuk mendaftar penduduk di negeri timur laut Assam, sekali gus ia mungkin melucutkan hak jutaan majoriti penduduk Islam.

 

Pengerusi Suruhanjaya Kebebasan Beragama Antarabangsa AS, Tony Perkins yang mengeluarkan cadangan kepada kerajaan namun tidak membuat dasar berkata, pluralisme (kemajmukan) agama adalah ‘dasar masyarakat India.’

 

“Bagaimanapun, kami masih bimbang dengan potensi pelanggaran Pendaftaran Kerakyatan Nasional di Assam dan mengakibatkan memperkenalkan syarat agama untuk warganegara yang bertentangan dengan dasar kebebasan beragama di India,” katanya dalam satu kenyataan.

 

India memberi penduduk Assam tempoh sehingga akhir bulan ini bagi membuktikan mereka, ibu bapa atau datuk nenek menetap di negeri itu sebelum 1971, apabila jutaan penduduk Bangladesh yang majoriti Islam lari akibat perang kemerdekaan.

 

Menteri Dalam Negeri, Amit Shah, orang kanan Perdana Menteri Narendra Modi, menggesa pengusiran ‘anai-anai’ dari India dan sebelum kejayaan parti nasionalis Hindu, Bharatiya Janata (BJP) tahun ini, berikrar mengambil alih kempen ala-Assam di seluruh negara dan ‘menghantar pulang penceroboh.’

 

Dalam satu tindakan lain, dewan rendah Parlimen India meluluskan perundangan Januari lalu untuk memberi kerakyatan kepada individu yang datang dari Bangladesh, Pakistan dan Afghanistan sekurang-kurangnya enam tahun lalu, namun jika mereka bukan Islam.

 

Perkins adalah Presiden Majlis Penyelidikan Keluarga, kumpulan konservatif Kristian rapat dengan Parti Republikan pimpinan Presiden Donald Trump, terkenal dengan bantahan penerimaan homoseksual.

 

Menyertai kenyataan kebimbangan beliau adalah Anurima Bhargava, seorang anggota suruhanjaya dilantik Speaker Demokrat, Nancy Pelosi.

 

Katanya, suruhanjaya itu ‘terganggu’ dengan sebarang tindakan yang menyasar minoriti, mengatakan pendaftaran itu ‘bukan satu cara menyasar dan menyerahkan komuniti Islam Muslim tanpa negara di timur laut India.’

 

Sumber: Berita Harian