Info SemasaKenyataan Media

MYANMAR ALAMI KRISIS KEMANUSIAAN – PBB

NEW YORK: Myanmar mengalami krisis kemanusiaan dengan kira-kira tiga juta rakyatnya memerlukan bantuan, menurut pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan semalam.

Krisis kian memburuk dengan penularan COVID-19 dan peristiwa yang berkaitan penahanan pemimpin politik oleh tentera pada 1 Februari.

Daripada tiga juta yang memerlukan bantuan kemanusiaan, dua juta telah dikenal pasti sejak 1 Februari, lapor Xinhua.

Menurut OCHA, keluarga paling rentan masih tinggal di kawasan bandar dan pinggir bandar, terutamanya di Yangon dan Mandalay, serta penduduk di tenggara dan barat Myanmar yang terkesan dengan konflik.

Lebih 220,000 orang terpaksa melarikan diri akibat pertempuran bersenjata dan keadaan yang tidak selamat.

Kawasan paling terjejas termasuk Kachin, Shan, Chin, Kayah dan Kayin dan bandar berdekatan Sagaing dan Magway.

Meskipun beberapa keluarga sudah kembali ke tempat asal mereka, ramai masih menjalani kehidupan tidak menentu, tidak mempunyai akses perkhidmatan asas, termasuk tempat tinggal dan barangan bukan makanan.

Situasi di Rakhine masih tenang walaupun keadaannya mengerikan.

Keselamatan makanan kian membimbangkan, dengan laporan kekurangan makanan di lokasi pelarian dan di komuniti di Shan dan utara Rakhine.

Pandemik COVID-19 pula sehingga Jumaat lalu mencatatkan lebih 455,000 kes dan 17,000 kematian.

Kemungkinan jumlahnya lebih tinggi berikutan kapasiti ujian yang rendah, menurut kenyataan itu.

Cabaran berterusan adalah untuk mendapatkan akses kepada golongan memerlukan berikutan faktor keselamatan, halangan birokrasi dan gangguan terhadap sistem perbankan/masalah kecairan tunai, katanya.

Sejak Mei, Program Makanan Sedunia telah membantu lebih 800,000 orang di kawasan pinggir bandar Yangon.

Rancangan kemanusiaan 2021 untuk Myanmar, memerlukan AS$276.5 juta (RM1.15 bilion) , sebanyak 47 peratus telah dibiayai.

Sumber: Berita Harian