MUSLIHAT ISR@EL DI SEBALIK ‘KEBAIKAN’
GAZA: “Ia tidak mengubah apa-apa untuk kami. Memandangkan kami tidak mempunyai alat ganti yang diperlukan untuk penyelenggaraan dan pembaikan, kebanyakan bot tidak dapat pergi sejauh itu”.
Demikian luahan seorang nelayan warga Palestin, Khaled al-Habil.
Kenyataan Khaled merujuk kepada perluasan zon penangkapan ikan di Gaza yang diumumkan oleh Koordinator Aktiviti Kerajaan di Wilayah Israel (COGAT), sebuah unit tentera Israel bertanggungjawab atas hal ehwal awam di wilayah Palestin.
Antara langkah lain, zon penangkapan ikan diperluaskan hingga 28 kilometer (km).
Walaupun Perjanjian Oslo yang ditandatangani pada 1990-an mewajibkan Israel membenarkan bot menangkap ikan pergi sejauh 37 km, perkara itu tidak dipenuhi oleh rejim Zionis.
Suasana di al-Mina yang juga pelabuhan utama Gaza, merupakan petunjuk baik mengenai ketegangan politik.
Israel sering mengekang zon kepada nelayan di Gaza sebagai tindak balas terhadap keputusan Hamas atau protes anti-penjajahan.
Ketidakstabilan itu menjejaskan kehidupan kira-kira 4,000 nelayan dan keluarga mereka selain ribuan penduduk yang terlibat dalam industri tersebut.
Keluarga Khaled antara golongan yang terjejas secara langsung.
Khaled, 55, mewarisi pekerjaan itu dari bapanya ketika berusia 10 tahun dan kemudian diteruskan oleh lima orang anak lelakinya.
“Kami hanya tahu menangkap ikan tetapi pekerjaan ini berdepan pelbagai ancaman,” katanya.
Keluarga Khaled memiliki sebuah kapal pukat tunda yang sudah tidak beroperasi lebih dua tahun.
Menurut Khaled, kapal pukat tunda yang mampu menampung pendapatan lebih 20 keluarga, tidak lagi berfungsi disebabkan masalah enjin.
Jelasnya, alat ganti yang dapat menyelesaikan masalah enjin itu tidak boleh didapati di Gaza kerana sekatan Israel-Mesir.
“Isu kekurangan alat ganti dan bekalan disekat daripada memasuki Semenanjung Gaza perlu ditangani oleh pihak berkuasa Israel,” katanya.
Ketika ditanya mengenai tuntutan mereka, keenam-enam anak lelaki Khaled berpandangan perluasan zon penangkapan ikan tidak mencukupi bagi nelayan di Gaza berkembang maju.
Malah tegas mereka, sekatan dan kepungan yang dikuatkuasakan di Gaza harus ditarik balik sepenuhnya.
Dalam isu ini, Serantau Muslim berharap rejim Israel tidak merampas hak asasi rakyat Palestin setelah sekian lama. Israel harus mengembalikan semua hak-hak mereka agar keamanan terus dicapai di sana.
Sama-sama kita umat Islam doakan agar ia tercapai kelak.
Sumber: Utusan