MOHSEN FAKHRIZADEH, KETUA NUKLEAR IRAN DIBUNUH DENGAN SENJATA KAWALAN JAUH
TEHRAN – Iran percaya Israel dan kumpulan pembangkang yang dibuang negara menggunakan senjata kawalan jarak jauh untuk menembak saintis nuklear, Mohsen Fakhrizadeh pada hari Jumaat lalu.
Ketua Keselamatan Iran, Jeneral Ali Shamkhani mendakwa penyerang telah “menggunakan peralatan elektronik” ketika kereta Fakhrizadeh ditembak di bahagian timur ibu kota Teheran.
Sehingga hari ini Israel masih belum membuka mulut berhubung dakwaan tentang penglibatannya dalam pembunuhan Moksen.
Pada awal tahun 2000, Mohsen dikatakan telah memainkan peranan penting dalam program nuklear Iran, tetapi Kerajaan Iran menegaskan aktiviti nuklear itu untuk tujuan perdamaian.
Iran telah dikenakan sekatan oleh barat dalam usaha membendung negara ini daripada membangunkan senjata nuklear.
Mohsen didakwa cedera parah ketika keretanya dibedil dengan peluru di Absard.
Semasa serangan itu, sebutir bom dalam trak pikap Nissan juga dilaporkan meletup.
Berdasarkan gambar-gambar yang dikongsikan di media sosial, tempat kejadian dipenuhi darah dan kenderaan yang ditembusi peluru.
Pada awalnya, Kementerian Pertahanan melaporkan tentang tembakan antara pengawal peribadi Mohsen dan beberapa lelaki bersenjata.
Satu laporan Iran menyebut saksi mengatakan “tiga hingga empat individu, yang dikatakan pengganas, terbunuh”.
Kemudian media Iran melaporkan saintis itu telah dibunuh oleh mesingan yang dikawal dari jarak jauh atau ‘senjata yang dikawal oleh satelit’.
Dan pada hari Isnin, Shamkhani, yang mengetuai Majlis Keselamatan Nasional Tertinggi, mengesahkan kejadian tersebut.
Katanya, serangan jarak jauh itu menggunakan “kaedah khas”.
“Ini adalah misi yang sangat kompleks dengan menggunakan peralatan elektronik.
“Tidak ada siapa yang hadir di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di tempat pengebumian.
Shamkhani berkata, perkhidmatan perisikan dan keselamatan Iran telah mengetahui wujudnya rancangan untuk membunuh Fakhrizadeh, bahkan telah meramalkan di mana serangan itu mungkin berlaku.
Mengenai siapa yang harus disalahkan, beliau berkata, mereka ialah kumpulan pembangkang Iran yang dibuang negara, Mujahidin-e Khalq dan Israel.
Sumber: MalaysiaGazetteS