Screenshot 2024-08-06 144417
Info Semasa

META TURUNKAN ‘POSTING’ PALESTIN: SATU DISKRIMINASI, SEKAT KEBEBASAN BERPANDANGAN – PMO

Tindakan Meta Platforms Inc (Meta) menurunkan beberapa hantaran berhubung Palestin di platform Facebook dan Instagram merupakan satu bentuk diskriminasi, tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya memaklumkan pihaknya telah memanggil Meta bagi menuntut penjelasan berhubung tindakan penurunan beberapa hantaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di platform Facebook dan Instagram, lapor Al Hijrah News.

Pihaknya turut menzahirkan rasa jelik terhadap tindakan Meta yang menurunkan hantaran Perdana Menteri yang menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Asy Syahid Ismail Haniyeh yang dibunuh baru-baru ini.

“Pejabat Perdana Menteri melihat tindakan Meta itu sebagai satu bentuk diskriminasi, tidak adil dan menyekat kebebasan berpandangan. Ia juga penghinaan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin menuntut keadilan dan hak asasi manusia.

“Kami turut menegaskan bahawa tindakan menurunkan hantaran ini telah memberi kesan mendalam kepada rakyat Malaysia dan masyarakat dunia yang memahami penderitaan rakyat Palestin dan menentang kezaliman rejim Zionis Israel seperti terpahat dalam lipatan sejarah,”.

Turut hadir dalam pertemuan itu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Ujarnya, keputusan unilateral untuk menapis kandungan tanpa pertimbangan terhadap konteks hantaran, jelas menimbulkan persoalan tentang ketelusan dalam dasar penapisan kandungan Meta.

Dalam perkembangan lain, Pejabat Perdana Menteri turut kesal dengan insiden sekatan siaran langsung menerusi Facebook melibatkan akaun Berita RTM yang menyiarkan Himpunan Pembebasan Palestin, pada Ahad malam.

“Justeru, Pejabat Perdana Menteri telah menuntut beberapa perkara, termasuk
penjelasan terperinci berhubung tindakan-tindakan yang diambil oleh pihak Meta, serta permohonan maaf secara terbuka daripada Meta.

“Seperti yang telah dijanjikan di dalam pertemuan ini, satu kenyataan media akan dikeluarkan oleh pihak Meta dalam masa terdekat,” katanya.