Mayat bergelimpangan di hospital di Khan Yunis ketika Israel tingkatkan tekanan
Pihak berkuasa pertahanan awam Gaza, mengesahkan lebih 50 mangsa korban di bandar selatan Khan Yunis selepas Kompleks Hospital Nasser diserang Israel sejak Sabtu lalu.
Menerusi Berita Harian dinyatakan bahawa serangan itu dilakukan ketika Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk meningkatkan tekanan ketenteraan ke atas Hamas.
Jurucakap pihak berkuasa pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, berkata kebanyakan mangsa korban mempunyai kesan penderaan dan seksaan dilakukan tentera Israel.
Katanya, semua mangsa korban dikebumikan di pekarangan Kompleks Hospital Nasser.
“Kita sedang menunggu semua mangsa untuk dikebumikan sebelum dapat memberikan jumlah sebenar.
“Ada mayat yang tidak mempunyai pakaian dan menunjukkan (mereka) menghadapi penyeksaan dan penderaan,” katanya.
Israel bagaimanapun sedang menyiasat dakwaan terbabit.
Sementara itu, Hamas dalam kenyataannya berkata, 50 mayat dikebumikan dalam satu ‘kubur besar’ di pekarangan hospital.
Israel menjalankan operasi tepat dan terhad di hospital terbabit, antara hospital terbesar di Gaza.
Kebanyakan hospital di Gaza berdepan serangan Israel, dengan tentera menuduh Hamas menggunakan kemudahan lokasi itu sebagai pusat komando dan menahan tebusan yang diculik pada 7 Oktober.
Tuduhan itu bagaimanapun dinafikan Hamas.
Sementara itu, tinjauan AFP sendiri melihat pasukan pertahanan awam menggali kubur untuk menempatkan semua mangsa korban, sambil ditemani tangisan ahli keluarga mereka.
Sebelum ini, Netanyahu mengancam akan adanya tindakan dalam tempoh terdekat selain berulang kali mengatakan Israel akan melancarkan serangan darat ke Rafah walaupun wujudnya kebimbangan di peringkat antarabangsa terhadap orang awam yang berlindung di bandar Gaza selatan.
Kenyataan terbaharu dibuat Netanyahu itu selepas Amerika Syarikat meluluskan pakej bantuan ketenteraan berjumlah $13 bilion (RM62 bilion) kepada Israel.
Hamas menggelarkan bantuan itu sebagai lampu hijau buat Israel untuk meneruskan serangan kejam terhadap rakyat Palestin.