Info SemasaKenyataan Media

MASJID WAL ADHUNA ‘SAKSI BISU’ JAKARTA SEMAKIN TENGGELAM

JAKARTA: Jangkaan mengenai Jakarta bakal tenggelam dalam tempoh beberapa puluh tahun akan datang bukan sekadar cakap kosong.

Sebuah masjid yang berdiri kukuh di kawasan Muara Baru, Penjaringan, Jakarta Pusat menjadi ‘saksi bisu’ kepada jangkaan tersebut apabila strukturnya semakin tenggelam akibat peningkatan paras laut.

Masjid Wal Adhuna yang terletak di belakang sebuah tambak besar yang menahan air di pelabuhan Sunda Kelapa semakin tenggelam dalam tempoh 12 tahun lalu.

Separuh daripada struktur masjid itu sudah ditenggelami air laut, menyaksikan catnya mula tertanggal dan dipenuhi lumut, selain bahagian bumbungnya sudah hancur.

Sebelum ini, masjid tersebut sering menjadi tumpuan para jemaah menunaikan solat lima waktu dan solat hari raya.

Dalam pada itu, pakar geodesi dari Institut Teknologi Bandung (ITB), Heri Andreas berkata, kira-kira 9,000 hektar tanah di Jakarta sudah berada di bawah permukaan laut.

Namun, tanah itu tetap kering ketika ini kerana adanya binaan tambak laut dan sungai.

“Pada 2021, sebanyak 14 peratus wilayah Jakarta sudah berada di bawah laut dan jumlah itu boleh meningkat kepada 28 peratus menjelang 2050.

“Fenomena ini berlaku disebabkan dua faktor iaitu peningkatan paras air laut akibat pemanasan global dan turunnya permukaan tanah akibat eksploitasi air secara berlebihan,” katanya.

Heri menjelaskan, jika kerajaan tidak melakukan langkah maksimum, tanah di Jakarta boleh menurun sehingga empat meter di bawah permukaan laut menjelang 2050.

Sumber: Utusan