WhatsApp Image 2024-05-08 at 11.11.34 AM
Uncategorized @ms

Malaysia tambah 10 lagi kontena bantuan kemanusiaan ke Gaza

Malaysia menambah 10 lagi kontena bantuan kemanusiaan kecemasan ke Gaza, menjadikan keseluruhan kontena dihantar sebanyak 110.

Menerusi laporan Berita Harian, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan demikian ketika mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada pelancaran misi itu di Kaherah, Mesir semalam.

Beliau berkata, kontena itu mengandungi makanan asas seperti beras dan tepung, selain kit kebersihan diri termasuk tuala wanita.

“Penambahan 10 lagi kontena menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 110 kontena dengan nilai RM12 juta yang boleh memanfaatkan 60,000 keluarga di Gaza,” katanya.

Turut hadir pada pelancaran misi bantuan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu ialah Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid dan ketua misi bantuan, Sani Araby Abdul Alim Araby.

Penghantaran 100 kontena yang mengandungi 1,358 tan barangan ke Gaza sebelum ini dilancarkan Ahmad Zahid di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang, Selangor pada 23 Mac lalu.

Nik Nazmi berkata, hubungan diplomatik yang baik di antara Malaysia dan Mesir, termasuk peranan langsung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membolehkan kontena Malaysia yang membawa barangan bantuan itu melalui perjalanan yang lancar.

Beliau juga menegaskan, Malaysia akan kekal lantang dalam isu kemanusiaan seperti aparteid, Palestin dan Bosnia yang menjadi tradisi sejak awal kemerdekaan negara.

“Dunia maju bercakap tentang sifar bersih karbon, tetapi tidak tegas isu letupan berterusan, pencemaran air kritikal dan kerosakan tanah di Gaza,” katanya.