Kenyataan Media

MALAYSIA DESAK PELAKU JENAYAH KE ATAS ROHINGYA SEGERA DIDAKWA

BANGKOK, 24 JUN – Pelaku kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar perlu dihadapkan ke muka pengadilan, desak wakil Malaysia pada sidang kemuncak ASEAN di sini hari ini.

 

Myanmar tidak mengiktiraf etnik minoriti Rohingya sebagai rakyat negara itu dan secara rasmi melabelkan mereka sebagai ‘Bengali’ iaitu nama pendek khusus untuk pendatang tanpa izin dari negara jiran, Bangladesh.

 

Operasi besar-besaran pihak tentera pada 2017 menyebabkan lebih 740,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dan membawa bersama kisah ngeri seperti diperkosa dan pembunuhan beramai-ramai.

 

Penyiasat Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mendesak pemerintah tertinggi tentera dibicarakan atas tuduhan penghapusan etnik.

 

Namun tentera Myanmar dan pemimpin de facto Aung San Suu Kyi mempertahankan tindakan itu sebagai perlu untuk menghalau militan Rohingya dari negeri Rakhine.

 

Dalam perbincangan bersama rakan sejawat ASEAN, Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa pelaku kekejaman ke atas etnik Rohingya dibawa ke muka pengadilan.

 

Katanya, penghantaran pulang pendatang dari kem pelarian yang padat penghuni di Bangladesh perlu turut mengambil kira taraf kerakyatan etnik Rohingya.

 

Malaysia, negara Islam yang menerima sejumlah besar kehadiran pendatang Rohingya adalah antara negara ASEAN yang sering bercakap membela etnik minoriti itu.

 

Sumber: Berita Harian