MAHKAMAH TANGGUH KEPUTUSAN USIR PENDUDUK PALESTIN
BAITULMAQDIS – Mahkamah Agung Israel pada Isnin menangguhkan keputusan untuk mengusir empat keluarga Palestin dari kawasan penduduk Sheikh Jarrah, timur Baitulmaqdis yang diduduki secara haram oleh Israel.
Penduduk Palestin itu berkata, mereka ditawarkan untuk kekal tinggal di dalam tanah masing-masing di Sheikh Jarrah sebagai penghuni rumah dilindungi sekali gus mengiktiraf pemilikan Israel ke atas kediaman yang menjadi pertikaian tersebut selain perlu membayar yuran tahunan.
Bagaimanapun, penduduk Palestin tersebut menolak tawaran tersebut.
Menurut seorang penduduk, Muhammad el-Kurd, pihaknya menerima banyak tekanan untuk mencapai satu perjanjian dengan peneroka-peneroka haram Yahudi yang menyebabkan mereka terpaksa menyewa daripada pertubuhan peneroka berkenaan.
“Sudah pasti, cara itu ditolak,” katanya seperti dilaporkan oleh AFP.
Pendengaran pada Isnin lalu itu merupakan sebahagian daripada tuntutan undang-undang selama bertahun-tahun yang dikemukakan oleh pertubuhan Israel Yahudi dan ia cuba mendapatkan hak ke atas hartanah dengan mendakwa pernah menjadi hak milik penduduk Yahudi sebelum tahun 1948.
Penduduk Palestin pula berkata, Jordan memberikan rumah-rumah itu selepas mereka diusir dari bandar-bandar haram Israel.
Pada Isnin, penduduk Palestin tersebut mendakwa menerima dokumen-dokumen baharu dari Jordan bagi membuktikan kes mereka.
Sebelum ini, empat buah keluarga tersebut telah pun diusir dari Sheikh Jarrah tetapi arahan berkenaan ditangguhkan kerana mereka membuat rayuan berhubung kes itu.
Sumber: SH